December 20, 2014

Teksi jatuh tingkat satu

KEADAAN teksi mangsa yang remuk selepas terjunam.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu nyaris maut selepas teksi dipandu merempuh tembok batu di tingkat satu pusat beli-belah sebelum kenderaan itu menjunam jatuh ke bawah bangunan.

Dalam kejadian jam 3 pagi semalam, teksi model Proton Wira itu terhempas jatuh dari ketinggian lebih lima meter di bangunan Sun Kompleks, Jalan Bukit Bintang, di sini.

Sumber polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa cuba meletakkan teksinya di kawasan parkir di tingkat satu bangunan itu.

“Mangsa bagaimanapun, dipercayai tertekan pedal minyak sebelum merempuh tembok batu hingga pecah. Kenderaan itu kemudian ‘terbang’ jatuh ke tingkat bawah bangunan.

“Kejadian itu kemudian disedari orang awam, namun mangsa gagal dikeluarkan daripada kenderaannya itu akibat tersepit,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur yang dipanggil ke lokasi kejadian.

“Mangsa berusia 50-an cedera ringan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans,” katanya.

myMetro 20 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment