December 23, 2014

Nafas terakhir di kaki bukit

Kampar: Lelaki berusia 59 tahun yang mendaki Bukit Batu Berangkai, di sini, disahkan meninggal dunia selepas pengsan di puncak bukit berkenaan, kira-kira 8 pagi ini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kampar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa pengsan di bukit berkenaan dan menghantar pasukan untuk menyelamatkan serta membawa mangsa turun.

"Setibanya di puncak bukit, mangsa didapati pengsan dan bomba menggunakan pengusung serta tali untuk membawanya turun.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak perubatan sebaik tiba di kaki bukit, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Chu Khum Cheok itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 9.45 pagi.

myMetro 20 Dis 2014


Temui ajal ketika joging daki bukit

Pegawai perubatan memeriksa keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika berjoging

KAMPAR – Seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia di puncak Bukit Batu Berangkai di sini, kelmarin.

Ketika kejadian, Chu Khum Cheok, 59, yang berasal dari Taman Sejahtera di sini, berjoging bersama isteri dan rakan-rakannya dengan menaiki bukit berkenaan pada kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Yamin Naib berkata, pihaknya menghantar sepasukan penyelamat ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mangsa pengsan di bukit berkenaan pada jam 8.01 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera bersama tujuh anggota menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan mendaki bukit setinggi 1,000 meter sebelum menemui mangsa terbaring di dalam hutan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal daripada isteri mangsa, dia memberitahu mangsa terjatuh ketika joging dan terus tidak sedarkan diri.

"Pegawai perubatan yang juga tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Bomba menggunakan pengusung dan tali untuk menurunkan mangsa,” katanya.

Mohd Yamin berkata, mayat warga emas tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut setelah operasi tamat pada jam 9.35 pagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian 22 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment