December 20, 2014

Doa Adam segera sembuh

MUHAMMAD Adam Hamka.

Seremban: “Pada awal kelahirannya saya sangat sedih melihat keadaannya tapi kini saya perlu kuatkan semangat dan sentiasa berdoa Adam segera sembuh,” kata suri rumah Khairiyah Shamsudin selepas anak ketiganya, Muhammad Adam Hamka Norisam dikesan menderita Sindrom Crouzon sejak lahir.

Khairiyah, 37, yang masih dalam pantang berkata, Muhamad Adam Hamka Norisam berusia 32 hari didapati mengalami kecacatan pada muka dan tengkorak sebaik dilahirkan pada 14 November lalu di Hospital Tuanku Ja’afar (HJT) di sini.

“Adam disahkan mengalami kecacatan pada muka dan tengkorak hingga menyebabkan matanya sedikit terkeluar berbanding bayi normal.

“Tulang belakangnya juga bermasalah selain itu, Adam susah bernafas serta tidak mengeluarkan suara ketika menangis,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Khairiyah berkata, ketika ini anaknya dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur selepas dipindahkan dari HTJ bagi mendapatkan rawatan pakar.

“Ibu mana tidak sayangkan anak, walau pun wajah anak yang dilahirkan tidak seperti bayi normal, namun segala kepahitan itu perlu ditelan.

“Segala keperluan dan rawatannya saya ikut dengan sempurna kerana tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Menurutnya, kos rawatan penyakit itu tinggi malah Adam perlu dibedah dengan mendapatkan khidmat doktor pakar bedah otak dan saraf.

Katanya, doktor memaklumkan paling awal, Adam perlu dibedah pada usia tiga bulan, namun jika keadaannya boleh bertahan, pembedahan akan ditangguh sehingga usianya enam bulan.

“Pada 17 Disember lalu, Adam sepatutnya menjalani pembedahan kecil iaitu lehernya ditebuk bagi membantu dia bernafas tetapi ditangguh Isnin ini,” katanya.

Khairiyah berharap ada insan prihatin membantunya keluarganya memandangkan suami, Norisam Mohd Jaafar, 33, baharu saja diberhentikan kerja kerana sering mengambil cuti menjaga dua lagi anak mereka berusia lapan dan empat tahun.

Katanya, sejak Adam dirawat di PPUM, dia terpaksa tinggal di wad bagi menjaga anaknya itu manakala suami terpaksa berulang dari Rantau, dekat sini, ke Kuala Lumpur.

“Namun suami sudah tidak bekerja dan ia memberi kesan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan dengan menghubungi Khairiyah di talian 011-23266907.

myMetro 20 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment