November 21, 2014

Semakin ramai dipindahkan

ANTARA penduduk Taman Murni Permai, Tok Jembal mula berpindah dengan membawa beg pakaian masing-masing, berikutan keadaan air banjir naik secara mendadak. FOTO Aswadi Alias

Anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) memindahkan penduduk Taman Murni Permai, Tok Jembal selepas kawasan itu dilanda banjir di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Bernama

Kuala Terengganu: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan di negeri ini naik kepada 5,561 orang pada tengah malam tadi, berbanding 4,813 orang.

Jumlah itu membabitkan 1,369 bilangan keluarga yang ditempatkan di 42 pusat pemindahan (PP).

Kuala Terengganu masih mencatat jumlah tertinggi iaitu 3,938 mangsa daripada 972 keluarga dan ditempatkan di 17 PP.

Sekurang-kurangnya 967 mangsa daripada 236 keluarga lagi ditempatkan di lima PP di Marang, manakala 13 PP di Setiu menempatkan 349 orang membabitkan 78 keluarga.

Di Besut pula, 291 mangsa daripada 80 keluarga berpindah sementara di enam PP.

Dungun yang terjejas teruk tahun lalu hanya membuka satu PP yang menempatkan tiga keluarga dengan jumlah mangsa 16 orang.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah dalam kenyataanya, berkata pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Balai Raya Kampung Jelapang yang menempatkan 16 mangsa daripada lima keluarga, di Setiu.

"Di Besut pula, pusat pemindahan baru dibuka ialah Surau Kampung Pengkalan Kubur yang membabitkan 43 mangsa daripada 14 keluarga," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir di negeri ini dengan menghubungi bilik gerakan bencana negeri di 09-6316021 atau melayari laman web etindakan.terengganu.gov.my.

myMetro 21 Nov 2014


Sudah dua korban banjir di Terengganu

Kuala Terengganu: Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila mengorbankan remaja perempuan selain seramai 3,863 orang dipindahkan ke 36 pusat pemindahan di beberapa daerah di negeri ini.

Pelajar tingkatan satu itu ditemui lemas dalam telaga di belakang rumah datuknya di Kampung Jelapang, Bandar Permaisuri di Setiu petang semalam menjadikan korban pertama mangsa banjir di negeri ini.

Menurut portal e-Tindakan Bencana Terengganu, Dungun menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan 16 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah itu.

Di Setiu, banjir menyebabkan 280 mangsa dari 63 keluarga ditempatkan di 14 lokasi pusat penempatan banjir.

Di Besut, 215 mangsa dari 57 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Kampung Beris Pak Abu dan Surau Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang.

Beberapa sungai utama di seluruh Terengganu juga berada pada paras membimbangkan ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam.

Di KOTA BHARU, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melepasi paras bahaya dan terus meningkat pada 1 tengah hari.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang ialah 9.07 meter melepasi paras bahaya 9 meter.

Bagaimanapun, sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama ditutup berikutan banjir.

myMetro 20 Nov 2014


12 kediaman, 3 kedai dinaiki air

Zakaria (kanan) meredah air yang bertakung di halaman rumahnya. 

Umat menunjukkan kawasan yang ditimbus menyebabkan air tersekat.

TUMPAT - Disebabkan masalah saluran air dikambus, 12 kediaman penduduk termasuk tiga kedai di Kampung Kebakat di sini dinaiki air sejak enam hari lalu.

Manakala jalan untuk ke Masjid Mukim Kebakat juga turut dinaiki air.

Peniaga, Umat Awang Lah, 74, berkata, hujan sejak Khamis lalu menyebabkan kedai runcitnya dimasuki air dan kawasan sekitarnya digenangi air separas betis.

“Ini kali pertama kediaman penduduk di sini dinaiki air, ia berpunca selepas saluran air dikambus.

“Walaupun pembentung air ada tetapi airnya tersekat selepas saluran air di seberang jalan dikambus,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perniagaannya terjejas sejak kedainya dimasuki air dan berharap masalah terbabit mendapat perhatian segera pihak berkaitan.

Zakaria Umat, 48, berkata, kawasan kediamannya dipenuhi air dan hampir mencecah lantai rumahnya sejak dilanda hujan Khamis lalu.

Jika hujan berterusan, air akan masuk ke dalam rumah dan dia sekeluarga perlu  berpindah ke tempat tinggi.

Katanya, dia khuatir anak-anaknya diancam binatang berbisa kerana air sudah mencecah lantai manakala kawasan sekeliling rumah pula digenangi air separas betis.

“Saya harap sangat saluran air yang dikambus itu digali semula kerana jika dibiarkan penduduk yang berada di kawasan rendah ini akan dilanda banjir.

“Saya mohon kerjasama semua pihak agar masalah ini ditangani segera,” kata Zakaria lagi.

Sinar Harian 20 Nov 2014


Tergamam lihat bumbung terbang

BACHOK – Dalam hujan lebat dan angin kuat yang melanda Bachok pagi kelmarin, beberapa kampung di Dun Perupuk dilanda ribut menyebabkan beberapa buah rumah rosak teruk termasuk di Pantai Damat, Perupuk dan Melawi.

Sebuah keluarga di Kampung Pantai Damat dekat sini tergamam apabila melihat bumbung ruang tamu mereka diterbangkan angin kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Abdul Rashid Derih, 62, berkata, ketika itu dia berada di ruang tamu dan bersembang mengenai kesihatannya yang baru sahaja keluar dari hospital Isnin lalu.

Akibatnya, sebahagian besar bumbung di bahagian ruang tamu dan bilik tidur anaknya serta perabung utama rosak teruk.

“Masa itu bila angin angkat bumbung, kami tergamam dan tak bergerak hinggalah anak sulung saya, Zamri, 39, yang datang suruh kami beredar dari situ.

“Bilik anak perempuan kami memang tak dapat digunakan langsung sebab semua bumbung dah tak ada.

“Saya tak tahu bagai mana kami nak baiki bumbung ini sebab saya sendiri baru sahaja keluar hospital kerana macam-macam penyakit. Saya dah lama tak ke laut sebab masalah kesihatan dan sekarang ini pula musim tengkujuh,” katanya yang tinggal bersama isteri, Rokiah

Mat Husin, 54, dan empat anak yang masih bersekolah.

Perlu bantuan segera

Abdul Rasyid berkata, ini bukan kali pertama ribut melanda kampung mereka, kejadian sama pernah menimpa kediamannya pada musim tengkujuh 2012.

Namun katanya, kerosakan yang berlaku kali ini lebih teruk daripada kejadian dua tahun lalu.

Katanya, keadaan itu amat menyukarkan mereka sekeluarga terutama anak-anak perempuannya yang masih bersekolah di tingkatan enam, tingkatan empat, tingkatan dua dan tahun lima.

Justeru dia amat berharap untuk mendapatkan bantuan segera bagi membaiki bumbung rumahnya yang dianggarkan memerlukan kos RM3,000.

Rumah Abdul Rasyid hanya terletak kira-kira 100 meter dari laut yang kelihatan bergelora sejak beberapa hari lalu berikutan kedatangan monsun Timur Laut.

Tidak pernah alami kejadian ribut sejak 70 tahun

Manakala, di Kampung Perupuk, sepasang warga emas terkejut apabila buat pertama kalinya ribut melanda kediaman mereka sejak lebih 70 tahun menetap di situ.

Zakaria Husin, 70, berkata, sejak dia tinggal di situ, kejadian yang berlaku jam 10 pagi kelmarin adalah pertama kali melanda kediamannya.

“Sebelum ini memang tak pernah berlaku kejadian ribut. Pakcik dengar angin kuat datang dari arah pantai naik ke kanan rumah sebelum ia berterusan naik melanda sebelah kiri rumah yang kemudiannya mengangkat bumbung rumah.

“Pakcik yang tinggal berdua sahaja dengan isteri, Bidang Ibrahim, 64, amat terkejut apabila terdengar bunyi kuat dari belakang rumah. Mulanya kami ingatkan buah kelapa jatuh menimpa bumbung rumah. Bila pergi tengok sebahagian besar bumbung rumah kami sudah tiada,” katanya.

Akibat kejadian itu, sebahagian bumbung bilik, dapur dan perabung rumahnya rosak diterbangkan ribut.

Penyelaras Dun Perupuk ziarah mangsa

Sementara itu, Penyelaras Dun Perupuk, Che Shamsuzuha Che Noh terus menjenguk dua mangsa itu kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin bersama Pentadbir Mukim Perupuk, Mohd Juhari Ali; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Perupuk,

Mahmud Ismail dan Pengerusi JKKKP Pantai Damat, Nazri Mat Zin.

Beliau juga menyampaikan sedikit sumbangan segera untuk keluarga berkenaan dan akan mengusahakan bantuan wang ehsan bencana alam di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Sinar Harian 20 Nov 2014


Dua ibu muda harung banjir bersama bayi

KOTA BHARU - Dua beradik yang merupakan ibu muda terpaksa mengharungi air dan menaiki bot untuk menyelamatkan diri bersama bayi sulung masing-masing apabila rumah mereka di Kampung Tiong di sini, dinaiki air hari ini.

Nor Azirah Jaafar, 19, bersama anaknya Mohd Abid Zafran Zaidan yang berusia dua bulan dan adiknya Nor Aisyah Jaafar, 18, bersama anaknya Mohd Haikal Anaqi Arshad Mohd Hilman yang berusia satu bulan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tiong di sini.

Menceritakan pengalamannya, Nor Azirah berkata beliau dan adiknya yang tinggal bersama ibu mereka Nik Som Nik Sah, 53, terpaksa mengharungi air bersama bayi masing-masing pada jam 3 pagi.

"Memang air dah naik...dah sampai paras pinggang, kami semua terpaksa pindah dengan segera kalau tidak kami tidak boleh keluar.

"Saya bersama suami dan adik bawa anak masing-masing dalam hujan dan Alhamdulillah proses pemindahan berjalan lancar," katanya kepada pemberita di sini.

Nor Azirah berkata pengalaman itu sukar dilupakannya, kerana musim tengkujuh kali ini terpaksa diharungi bersama anak sulungnya.

"Kalau dulu saya harung air banjir seorang diri tapi kali ini bersama anak dan suami...ia memang mencabar, memang dia (bayi) ada meragam sedikit tetapi dah baik.

"Setakat ini anak sihat dan saya harap bantuan seperti selimut dan juga makanan cepat sampai, kami berterima kasih kepada pihak bomba kerana cepat memberi pertolongan dan bantuan untuk memindahkan kami semua," katanya.

"Ini semua terpaksa saya lalui tanpa suami kerana dia sedang kerja di luar negeri ini," katanya.

Ibu mereka Nik Som berkata beliau juga sukar melupakan pengalaman bersama anak dan dua cucu yang masih kecil mengharungi banjir.

"Memang dah biasa harung air banjir tapi kali ini ada anak cucu sekali. Memang gementar sedikit bimbang cucu tidak sihat. Alhamdulillah kami semua selamat," katanya.

Sebanyak 30 orang daripada enam keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan. - Bernama

20 Nov 2014


Tiada cadangan perintah berkurung

PENDUDUK membantu menolak kereta yang ditenggelami air di Taman Murni Permai, Tok Jembal.

Kuala Terengganu : Kerajaan negeri tidak bercadang mengisytiharkan perintah berkurung terutama di daerah Kuala Nerus, di sini, berikutan beberapa lokasi termasuk di tiga institut pengajian tinggi (IPT) ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak Isnin lalu.

Pengerusi Bencana negeri Datuk Mazlan Ngah berkata, kawasan itu ditenggelami air bukan disebabkan pertembungan air laut seperti yang berlaku di daerah Kemaman tahun lalu, sebaliknya kerana takungan air hujan yang disebabkan kerja penimbunan tanah yang tidak mengikut peraturan.

Beliau berkata, kerajaan tidak berdepan sebarang masalah bekalan makanan untuk mangsa banjir yang dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan, tetapi mengakui berlaku sedikit kelewatan penghantaran kerana agensi kerajaan tidak menyangka akan berlaku banjir di kawasan itu.

“Jika diikutkan taburan hujan seperti yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, daerah itu hanya mengalami hujan sekitar 200 mililiter,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 di Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, di sini, semalam.

Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, berlaku sedikit kekecohan di beberapa pusat pemindahan banjir berikutan kelewatan agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan urusan pendaftaran mangsa dan penghantaran bekalan makanan.

Mengulas mengenai beberapa daerah di Terengganu yang ditenggelami air, Mazlan berkata, kawasan itu belum lagi dilanda banjir, hanya sebaliknya disebabkan air hujan bertakung.

Katanya, beberapa sungai yang dijadikan sebagai tempat sukatan banjir masih menunjukkan ia berada di bawah paras bahaya melainkan Sungai Chalok di Setiu dan juga Sungai Kuala Ping di Hulu Terengganu.

myMetro 21 Nov 2014


Ujian dalam air

PELAJAR Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al Falah, Kampung Siram, Kuala Terengganu selesai menduduki peperiksaan SPM mengharung air di sekolah mereka.

Rantau Panjang : “Walaupun banjir, saya tetap duduki peperiksaan ini kerana ia masa depan saya,” kata calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 Noraihan Nordin, 17.

Pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah, Kampung Siram, di sini, ditemui sebaik selesai menduduki kertas 1 dan 2 bagi subjek Sains.

Menurutnya, banjir di pe karangan sekolah bukan halangan untuk dia tidak ke sekolah bagi menunaikan tanggungjawab itu memandangkan semua persiapan dilakukan sebelum ini.

“Sekolah terletak dalam kawasan banjir begitu juga rumah saya di Kampung Merbau, Pohon Tanjung, di sini.

“Saya melakukan persiapan awal dengan tinggal di asrama sekolah bagi memudahkan untuk ke dewan peperiksaan di tingkat atas.

“Jadi tidak sukar untuk saya bergerak hanya perlu harung air sedikit saja,” katanya yang akan menduduki subjek Perdagangan dijadualkan pada Selasa depan.

Bagi bapanya, Nordin Hamat, 57, sebagai anak jati Rantau Panjang, dia sekeluarga sudah biasa menghadapi fenomena banjir.

“Cuma kebetulan ketika ini, ia jatuh pada tarikh anak menduduki peperiksaan, namun ia bukan masalah besar hingga menghalang dia mengambil SPM.

“Kami sediakan bekalan untuk dia tinggal di asrama sehinggalah peperiksaan selesai,” katanya.

myMetro 21 Nov 2014


Anak nyaris ditimpa atap terbang

ROSNI membersihkan rumahnya yang dimasuki air hujan akibat atap diterbangkan angin.

Kuala Terengganu: “Ribut yang berlaku secara tiba-tiba menerbangkan atap dan merosakkan beberapa dinding rumah.

“Malah, serpihan atap yang jatuh nyaris mengenai anak sulong kami,” kata Mohd Khairul Hawi, 28, dari Kampung Kubur, di sini.

Dia menceritakan detik cemas rumahnya dipukul ribut kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu menyebabkan atap pada bahagian ruang tamu dan beberapa dinding rumah rosak teruk selain ruang dalam rumah rumah dimasuki air dan merosakkan banyak barang berharga.

Khairul berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan dua anaknya sedang tidur di bahagian ruang tamu rumah sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat.

“Kami terkejut apabila atap rumah diterbangkan angin, malah serpihannya jatuh dan hampir mengenai anak sulong, Norania Kamelia (empat tahun).

“Saya mengucap panjang apabila melihat serpihan atap hampir mengenai anak dan bersyukur tiada yang mengalami kecederaan akibat kejadian itu,” katanya yang berkerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, bimbang kejadian sama berulang, dia bersama isteri dan anak-anak menyelamatkan diri ke bahagian dapur.

“Kami merancang tinggal di rumah saudara terdekat sementara menunggu kerosakan rumah dibaiki. Bagaimanapun, saya akan tetap berada di rumah kerana bimbang rumah dipecah masuk.

“Apa yang membimbangkan, kami tidak ada cukup wang untuk membaiki kerosakan itu dan berharap pihak berwajib dapat membantu,” katanya.

Isterinya, Rosni Abdul Ghani, 27, mengakui masih trauma dan bimbang untuk terus menetap di situ.

“Rumah kami berdekatan pantai dan kerana itu mudah dipukul ribut. Saya harap kejadian itu tidak berulang kerana ia sangat menakutkan dan mampu mencederakan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit Bazlan Abdul Rahman berkata, dia sudah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengambil tindakan segera membaiki kerosakan pada rumah penduduk secepat mungkin.

“Saya berharap kerjasama penduduk memaklumkan sebarang masalah dihadapi dan akan cuba membantu secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

myMetro 21 Nov 2014


Laluan tenggelam

PENDUDUK bermain air berhampiran laluan Kampung Tasek Bakong dan Kampung Putat Tujuh yang ditenggelami air sejak sebulan lalu.

Rantau Panjang : Meskipun rumah masih belum dinaiki air, kebanyakan penduduk di beberapa kampung, di sini, sudah berdepan kesan banjir lebih awal apabila laluan menghubungkan kampung mereka ditenggelami air sejak Oktober.

Malah, jalan menghubungkan Kampung Tasek Bakong dan Kampung Putat Tujuh tenggelam dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan limpahan Sungai Golok yang kini mencecah paras bahaya.

Shapie Mohamad, 50, mengakui sudah sebulan tidak menggunakan laluan itu sebaliknya memilih jalan alternatif lain untuk keluar dan masuk ke kampung.

“Walaupun Sungai Golok baru beberapa hari ini mencecah paras bahaya, jalan kampung ini sudah sebulan tenggelam disebabkan limpahan air dekat Sungai Tasi Garu.

“Antara faktor air lambat surut adalah kedudukannya di kawasan rendah menyebabkan kami menggunakan laluan alternatif untuk tempoh tiga bulan lagi, sehingga musim tengkujuh berakhir,” katanya.

Bagi Hasiah Abdullah, 64, dari Kampung Putat Tujuh, jalan kampung itu hanya akan digunakan pada musim kemarau saja dan menyebabkan mereka sudah lali dengan keadaan itu.

Katanya, ia bukan lagi masalah besar kepada penduduk kampung sepertinya kerana masih ada jalan alternatif lain untuk keluar masuk kampung walaupun jauh sedikit.

Sehubungan itu, penduduk kampung berharap jalan kampung di situ dapat dibaiki supaya lebih tinggi selain meluaskan sungai supaya tidak melimpah apabila musim tengkujuh.

myMetro 21 Nov 2014





0 comments:

Post a Comment