November 24, 2014

Perut terburai ditikam

GAMBAR kecil, mangsa.

Ipoh: Seorang lelaki warga Indonesia maut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam hingga menyebabkan perut terburai dalam kejadian di Angsana Ipoh Mall, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Al Amin, 30, ditemui dalam keadaan perut terburai di tingkat satu pusat beli belah terbabit dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa rakannya ke premis terbabit untuk karaoke, dan selepas selesai karaoke mangsa dipercayai didatangi sekumpulan 10 hingga 15 lelaki warga Indonesia, sebelum berlaku pertengkaran hingga menyebabkan pergaduhan.

"Mangsa kemudian dipercayai dibelasah sebelum ditikam dengan senjata tajam.

"Sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian, anggota dari Balai Polis Sungai Senam di sini, ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah terbaring berlumuran darah, sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, namun sebaik sampai di hospital mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

myMetro 24 Nov 2014


Maut dirodok pisau

IPOH – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan perut terburai selepas dirodok dengan senjata tajam dalam satu kejadian gaduh di sebuah pusat membeli belah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai Al-Amin, 31, yang bekerja sebagai buruh binaan di Bandar Cyber di sini, dikatakan baru selesai berkaraoke bersama teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian itu berlaku di pintu hadapan sebuah pusat membeli belah.

“Siasatan mendapati mangsa didatangi sekumpulan 10 warga asing sebelum berlaku pertengkaran mulut dan pergaduhan.

“Mangsa dipercayai ditikam dengan menggunakan pisau rambo dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya pada sidang media di Balai Polis Pasir Puteh, semalam.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat tikaman di bahagian kanan perut.

“Motif kejadian sedang disiasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang dilihat bagi mengesan kesemua suspek terbabit.

“Tiada tangkapan berjaya dilakukan setakat ini dan kami masih menyiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, teman wanitanya dikenali sebagai Noraini, 29, menyatakan dia tidak berada di lokasi kejadian berikutan telah keluar terlebih dahulu daripada premis berkenaan sebelum diberitahu oleh rakannya.

“Saya turun tangga dahulu selepas habis menyanyi dan tidak mengetahui dia ditikam sehingga salah seorang kawan beritahu. Saya dapati dia terbaring dan masih bernafas sebelum di bawa ke hospital,” katanya.

Insiden itu menjadi viral selepas gambar mangsa ketika di lokasi kejadian dikongsi di laman sosial.

Sinar Harian 25 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment