November 23, 2014

Penjual roti rayu anak tunggal pulang ke rumah


KUALA LUMPUR - Seorang penjual roti merayu agar anak perempuan tunggalnya berusia 15 tahun, yang dipercayai melarikan diri bersama teman lelaki, agar pulang ke pangkuan keluarga.

Low Hock Chye, 53, berkata, anaknya, Selena Low Zi Xuan, pada awalnya meminta izin untuk keluar bersama rakan ke sebuah pusat membeli-belah pada pagi Isnin lalu.

Bagaimanapun katanya, Selena tidak pulang sehingga tengah malam dan apabila dia memeriksa bilik anaknya, terdapat sepucuk surat ditinggalkan.

“Dalam surat dia kata nak lari dari rumah dan pesan supaya saya tak cari atau lapor pada polis.

“Esoknya kawan Selena beritahu saya yang dia dapat tahu anak saya dah ikut kekasihnya ke Pulau Pinang menerusi status dalam Facebook," katanya pada Sidang Media bersama Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam, Gerakan, semalam.

Ujar Hock Chye, anaknya itu tidak pernah mempunyai masalah dengan keluarga dan segala permintaannya akan ditunaikan termasuk berhenti sekolah kerana dia satu-satunya anak mereka.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam, Gerakan, Wilson Lau berkata, lelaki berkenaan boleh didakwa kerana membawa lari gadis bawah umur seperti mana di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun.

Sinar Harian 22 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment