November 24, 2014

Penagih mati kena belasah

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah maut selepas tindakannya memecah masuk ke dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Rejang, Wangsa Maju berjaya dihidu tuan rumah berkenaan yang kemudian bertindak menahan suspek bersama rakannya di dalam rumah itu sebelum suspek disahkan maut selepas terbabit dengan pergelutan bersama beberapa individu dalam kejadian jam 12.25 tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, siasatan awal mendapati tuan rumah yang juga seorang juruteknologi berjaya menahan suspek selepas pulang ke rumahnya semasa waktu rehat.

"Sebaik tiba di rumah, lelaki terbabit ternampak sehelai kain tuala dan selipar yang berada di luar rumahnya sebelum dia masuk ke dalam dan menemui seorang lelaki yang sedang bersembunyi di sebalik peti sejuk.

"Bimbang ditahan tuan rumah suspek kemudian menolak peti sejuk itu ke arah pengadu dan berlaku pergelutan sebelum suspek terjatuh dan tidak sedarkan diri selepas ditolak lelaki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, pengadu bersama seorang rakannya kini ditahan polis bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 304 A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

myMetro 24 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment