November 28, 2014

Mayat tanpa kepala, tangan

MAYAT terapung dalam guni.

Nibong Tebal: Mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui dalam tali air di tebing sungai Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap, semalam.

Mayat berkenaan ditemui seorang penduduk kampung berhampiran jam 5.30 petang, yang berasa pelik apabila melihat guni tepung terbabit yang hanyut, tersangkut di tebing sungai.

Penduduk itu cuba melihat kandungan dalam guni berkenaan, namun terkejut apabila ternampak jari kaki manusia menyebabkan dia tidak berani membuka ikatan guni terbabit sebaliknya menghubungi polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, P R Gunarajan berkata, polis percaya mangsa kemungkinan dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang ke dalam tali air terbabit.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa, namun setakat ini kemungkinan mangsa adalah warga asing.

“Kami akan menyiasat sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan penemuan kepala yang dibuang di depan restoran di Machang Bubok, Bukit Mertajam, baru-baru ini,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua mayat lelaki dipercayai warga asing dipercayai mangsa culik sindiket turut ditemui dibuang dalam Sungai Tok Sardon, Kubang Semang, semalam.

Menurut sumber, kedua-dua mayat terbabit ditemui jam 5 petang oleh penduduk kampung yang melalui jalan berhampiran sungai itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah warga asing dan mayat mereka dipercayai dicampak dalam sungai berkenaan.

“Siasatan mendapati mereka tidak dibunuh sebaliknya mungkin mati kerana penyakit,” katanya.

Difahamkan, ada sindiket yang menculik dan meminta tebusan daripada keluarga mangsa dan mereka biasanya mengurung mangsa tanpa diberikan makanan.

myMetro 28 Nov 2014


Rungkai misteri mayat tanpa kepala, tangan

Georgetown: Misteri penemuan mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni sebelum dicampak ke dalam tali air di Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap, dekat sini, akan diketahui selepas bedah siasat hari ini bagi menentukan sama ada ia sepadan dengan penemuan kepala manusia yang ditemui di Machang Bubok Isnin lalu.

Bedah siasat mayat itu yang dijangka dilakukan pagi ini oleh Pakar Patalogi Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh bakal menjawab persoalan sama ada kedua-dua penemuan badan serta kepala di dua lokasi berasingan itu mempunyai kaitan.

Kelmarin, mayat seorang lelaki tanpa kepala dan tangan ditemui penduduk selepas pelik melihat guni tepung terapung di tebing tali air belakang rumahnya.

Dia yang cuba meninjau kandungan guni terbabit terkejut melihat jari kaki manusia terkeluar di celah guni yang terkoyak lalu menghubungi polis.

Siasatan polis mendapati bahagian atas guni diikat dengan kabel elektrik dan ada sekurang-kurangnya lima kesan tikaman di dada dan perut mangsa.

myMetro 29 Nov 2014


Jumpa tangan, kepala pula

Bukit Mertajam: Selain tangan kiri manusia siasatan lanjut dijalankan polis menemui sebelah lagi tangan kanan dan kepala manusia yang dibuang dalam semak di tepi jalan pintas ke Taman Machang Bubok, 3.40 petang tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner R S Gunarajan berkata, tangan kiri berkenaan ditemui orang awam melalui kawasan itu selepas ia dipercayai di gonggong haiwan liar.

Manakala kepala dan sebelah lagi tangan kanan ditemui dalam beg plastik warna hitam.

"Kami percaya anggota badan manusia itu sengaja dibuang individu berkenaan berhampiran balai polis ketika melalui kawasan ini kerana mahu ia ditemui.

"Anggota badan itu dipercayai dibuang dalam semak itu sejak seminggu lalu berikutan keadaanya yang sudah berulat dan mereput sebelum menarik perhatian haiwan liar," katanya.

Gunarajan berkata, anggota badan berkenaan di bawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian padanan untuk mengesan samada ia mempunyai kaitan dengan beberapa lagi anggota badan manusia ditemui sebelun ini.

"Kami perlu menunggu laporan daripada pakar sebelum meneruskan siasatan kes ini," katanya.

myMetro 1 Dis 2014


Kes pembunuhan kejam libatkan anggota badan dipotong, dicampak di lokasi berbeza selesai

SEBERANG PERAI - Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan kejam melibatkan mangsa warga Myanmar yang dipotong kaki, kepala, tangan dan badannya dalam dua kejadian berasingan yang berlaku di Bukit Mertajam, di sini minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi hari ini berkata, ia berikutan kejayaan pihaknya menahan 17 lelaki warga negara berkenaan berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk dua yang dipercayai menjadi suspek utama pembunuhan tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal hasil maklumat yang didedahkan sendiri oleh suspek, mereka melakukan pembunuh itu disebabkan oleh dendam lama yang wujud ketika kesemua mereka termasuk mangsa masih berada di negara asal sebelum datang ke negara ini untuk bekerja.

Malah jelas Abdul Rahim, kedua-dua suspek turut mendedahkan sebuah rumah di Kampung Pisang, Bukit Mertajam yang menjadi lokasi utama pembunuhan kejam itu dilakukan sebelum anggota badan mangsa dicampakkan di beberapa lokasi sekitar sini.

Turut dirampas adalah tiga bilah parang yang digunakan untuk memotong mangsa selain sebuah kereta dan sebuah motosikal. - KOSMO!

5 Dis 2014


0 comments:

Post a Comment