November 21, 2014

Maut terkena pukulan kayu hoki

Pukulan maut

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut terkena pukulan kayu hoki semasa bermain hoki di Stadium Hoki, Jalan Pantai Baharu, di sini.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa dikatakan cedera ketika mengikuti pertandingan hoki peringkat sekolah bersama rakan sepasukan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mangsa terkena pukulan kayu hoki di bahagian belakang kepala sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan kecemasan di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

“Mangsa cedera di bahagian belakang telinga kiri. Pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan di bahagian otak mangsa.

“Selepas menerima rawatan dua hari, mangsa disahkan meninggal dunia jam 7.45 pagi kelmarin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan retak tulang kepala dan berlaku pendarahan dalam otak akibat pukulan kayu hoki.

Katanya, punca keretakan itu dipercayai berkemungkinan akibat pukulan kayu hoki.

“Mayat mangsa dituntut ahli keluarga bagi proses pengkebumian dan kes diklasifikasikan kematian mengejut,” ujarnya.

myMetro 21 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment