November 1, 2014

Lelaki maut rempuh bas sekolah


Machang: Seorang pemandu pikap maut manakala tiga ahli keluarganya parah selepas kenderaan yang dipandunya berlanggar dengan sebuah bas dalam kejadian di Jalan Lama Kota Bharu-Kuala Krai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi tadi itu Zamzuri Haron, 45, meninggal dunia jam 4.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Machang selepas mengalami kecederaan parah di badan dan kepala.

Tiga ahli keluarganya termasuk isteri dan dua anaknya parah dan sedang menerima rawatan di hospital sama manakala seorang lagi anaknya cedera ringan.

Pemandu bersama 42 penumpang bas terdiri dari murid tahun enam dan dua guru Sekolah Rendah Ibnu Qayyim, Kuala Terengganu tidak mengalami kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Kamal Azural Mohamed berkata, bas yang datang dari arah Pasir Puteh dikatakan tidak sempat mengelak sebelum melanggar sebuah pikup yang datang dari arah Kota Bharu.

Katanya, difahamkan ketika kejadian lampu isyarat di lokasi kejadian tidak berfungsi

"Pemandu pikap itu meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan manakala tiga ahli keluarganya parah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 31 Okt 2014


Tak sempat solat hajat anak SPM

Kenderaan yang dipandu Zamzuri remuk teruk akibat kemalangan itu.

MACHANG - Hasrat seorang bapa untuk turut serta solat hajat sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anaknya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di simpang empat, dekat Membunga di sini, malam kelmarin.

Zamzuri Haron, 45, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Machang.

Isteri Mangsa, Noor Asiah Ali, 44 dan dua anak perempuannya, Siti Mariani, 19 dan Siti Nursofia Dayana, 12 cedera parah manakala anak lelakinya, Muhammad Nur Irfan Haziq, 15, cedera ringan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Kamal Azural Mohamed berkata, kemalangan itu berlaku di Kilometer 40, jalan lama Kota Bharu-Kuala Krai, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, ketika kejadian bas dari Pasir Puteh tidak sempat mengelak lalu melanggar jenis kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu di simpang empat Membunga itu.

“Ketika itu jalan gelap dan lampu isyarat tidak berfungsi. Punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,? katanya.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Banggol Judah, dekat sini, dari rumah mereka di Gombak, Selangor dan dipercayai terlepas simpang seterusnya, memaksanya berpatah balik ke Banggol Judah.

Anak mangsa yang bakal menduduki SPM dikatakan tinggal bersama keluarga Noor Asiah di Kampung Banggol Judah dan bersekolah di sini.

Manakala, bas terbabit  membawa 40 murid dan dua guru dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Perlis untuk lawatan sambil belajar.

Pemandu dan semua penumpang bas termasuk dua guru tidak mengalami sebarang kecederaan.

myMetro 1 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment