November 21, 2014

Korban murni pereka dalaman


Bukit Mertajam: Seorang lepasan universiti terpaksa mengorbankan kerjayanya sebagai pereka bagi menjaga bapanya yang terlantar sakit di rumahnya dekat Taman Guar Perahu, di sini, selepas kaki kanan warga emas itu terpaksa dipotong dari paras lutut akibat menghidap kencing manis sejak dua tahun lalu.

Ahmad Kamal Azrie Abdullah, 24, yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Julai tahun lalu, amat bernasib baik apabila terus diterima bekerja di sebuah syarikat rekaan di Kepala Batas sebaik tamat belajar.

Bagaimanapun, selepas tiga bulan bekerja, dia mengambil keputusan berhenti kerja disebabkan mahu memberi sepenuh tumpuan untuk untuk menjaga bapanya, Abdullah Chat, 67, yang memerlukan pengurusan dan penjagaan rapi.

“Ketika bekerja, setiap kali waktu rehat saya terpaksa balik ke rumah melihat keadaan ayah sebelum bergegas semula ke tempat kerja dan lama-kelamaan saya berasa letih serta bimbang meninggalkan ayah keseorangan di rumah.

“Saya membuat keputusan berhenti kerja walaupun bidang itu amat saya minat kerana sebagai anak bongsu, saya memikul tanggungjawab besar dan rela berkorban demi menjaga serta menguruskan ayah.

“Saya hanya tinggal berdua dengan ayah kerana kakak dan abang sudah berumahtangga manakala ibu, Halijah Ismail, meninggal dunia pada 2009 lalu,” katanya.

myMetro 21 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment