Raub (kanan) melihat hasil kerja Ali (kiri) di tempat jalan berlubang.
KUALA PILAH - Seorang kakitangan kerajaan mengambil inisiatif sendiri membaiki jalan rosak di jalan alternatif Melang bagi mengelakkan berlaku kemalangan.
Razali Amin Nordin, 50, berkata, jalan alternatif itu sering dilalui pengguna setiap masa terutama pada waktu kemuncak jam 12 tengah hari hingga ke 1 petang.
“Saya bimbang kerosakan jalan ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna selain jalan ini sempit. Bila berselisih, perlu berhati-hati.
“Apabila jalan ini berlubang, saya tambah satu lagi pembetung kecil dan melebarkan jalan ini kepada 1.8 meter. Bila sudah lebar, kenderaan pun mudah untuk lalui jalan ini,” katanya.
Dia yang lebih dikenali sebagai Ali berkata, dengan kos RM1,000, dia membeli peralatan seperti batu, pasir dan pembetung untuk menutup jalan berlubang itu.
“Saya membaiki lubang ini bersama anak lelaki saya dan hanya ambil masa sehari sahaja. Saya juga membersihkan semak di tepi jalan supaya tidak melindung pandangan pengguna jalan raya.
“Terdapat selekoh berbahaya di sini. Bila ia terlindung oleh semak, boleh undang bahaya kerana kereta dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) tidak perasan kereta dari arah Melang. Jika laju, kedua-dua kereta boleh bertembung,” katanya yang kini bertugas di Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Kuala Pilah.
Menurutnya, laluan alternatif itu sering digunakan sebagai jalan pintas bagi mengelakkan kesesakan di pekan Kuala Pilah.
“Bagi ibu bapa yang ingin melawat anak mereka pada setiap hujung minggu di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad; Sekolah Sukan Negeri Sembilan Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba dan menghantar serta mengambil anak mereka di SMK Tunku Kurshiah, Sekolah Kebangsaan Tunku Kursiah akan menggunakan laluan ini.
“Tidak terkecuali kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan menggunakan laluan sama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi penduduk Taman Pendeta, Raub Nordin, 60, berkata, beliau mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada Razali atas usahanya membersihkan dan membaiki jalan berlubang.
“Usaha Razali boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain supaya tak mengharapkan bantuan dari pihak tertentu,” katanya.
Sinar Harian 20 Nov 2014
0 comments:
Post a Comment