November 24, 2014

Isteri pemain dram Iklim meninggal

Kuala Terengganu: “Isteri minta saya usap rambutnya kali terakhir pagi tadi (semalam) dan minta saya tabah membesarkan anak-anak,” kata Kamarudin Ibrahim, 50, bekas pemain dram kumpulan Iklim yang kehilangan isteri, Hasmah Abu Bakar, 50, akibat barah pangkal rahim, semalam.

Kamarudin berkata, pemergian isterinya satu kehilangan yang sukar dicari ganti apatah lagi tiga anak lelaki mereka berusia 10 hingga 17 tahun itu amat rapat dengan arwah.

Menurutnya, arwah seorang yang kental dan tabah walaupun menderita penyakit barah pangkal rahim sejak Januari tahun lalu sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada Jun tahun lalu.

“Selepas pembedahan itu, arwah menunjukkan perubahan positif dan kembali ceria meneruskan hidup bersama keluarga walaupun ketika itu dia masih mendapat rawatan susulan di HSNZ.

“Namun, keceriaan arwah tidak kekal lama apabila penyakit itu menyerang semula dan pantas merebak ke usus menyebabkan doktor terpaksa menjalankan pembedahan di sekitar usus yang dijangkiti kuman pada 19 Oktober lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Takir, di sini, semalam.

Kamarudin yang kini bekerja sebagai pemandu lori berkata, arwah dimasukkan ke wad selepas pembedahan itu dan doktor memberitahu keadaan pasangannya itu kritikal sehinggakan dia sering muntah dan sakit di bahagian pangkal rahim serta usus ketika di wad.

Katanya, ketika dirawat di HSNZ kelmarin arwah ada berbual dan meminta dia tabah serta menguruskan anak dengan baik walaupun tanpa arwah.

“Hati saya sayu apabila arwah meminta saya mengusap rambutnya dan berasakan tubuhnya amat lemah ketika itu.

“Sehinggalah pagi tadi (semalam) ketika hendak ke tempat kerja saya dihubungi kakak memberitahu keadaan isteri sudah nazak dan meminta saya segera ke HSNZ.

“Sebaik sampai saya lihat keadaannya tenat dan saya meminta dia mengucap dua kalimah syahadah. Selepas mengucap nafasnya kian lemah sebelum dia meninggal dunia jam 9.10 pagi,” katanya.

Jenazah isteri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng, di sini, jam 5 petang semalam.

myMetro 24 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment