November 23, 2014

Hakisan teruk ancam nyawa

Keadaan hakisan di sini dilihat semakin membahayakan dan mengundang kegusaran penduduk serta pengusaha perniagaan sekeliling.

Lokasi hakisan hanya berjarak lima meter dari premis perniagaan.

PETALING JAYA - Menggerunkan! Begitulah yang boleh disimpulkan terhadap hakisan tanah yang berlaku di tebing berhampiran Jalan PJU10/10E, Saujana Damansara sejak beberapa tahun lalu.

Hakisan itu kini dilihat semakin membahayakan apabila kedudukannya hanya kira-kira lima meter daripada premis peniagaan di sini.

Menurut pengurus sebuah syarikat percetakan di situ, Mohd Khairul Misran, 40, hakisan menjadi bertambah buruk sejak September lalu.

“Tebing berkenaan terus runtuh hingga menyebabkan sebahagian laluan di sini rosak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Mohd Khairul, keadaan menjadi bertambah buruk apabila tiada penambahbaikan dijalankan sejak berlakunya hakisan beberapa tahun sebelum ini.

“Sistem saliran disyaki bermasalah dan menyebabkan keadaan tanah menjadi tidak kukuh,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha bengkel, Mohd Shahri Shamsuddin, 48, berkata, hakisan berkenaan turut memberi kesan kepada struktur bangunan.

Katanya, kesan-kesan retakan mula kelihatan di bangunan berkenaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Kedai Saujana Damansara, Zulkifli Ismail berkata, masalah yang telah sekian lama berlaku ini masih belum diambil jalan penyelesaian oleh pihak bertanggungjawab.

“Sebelum ini, hakisan tersebut hanya berlaku sedikit dan sebagai langkah pencegahan, cerucuk dipasang terlebih dahulu.

“Namun selepas kerja penambahbaikan dihentikan, runtuhan makin teruk sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini penduduk masih tidak dimaklumkan mengenai status baik pulih di lokasi hakisan itu walaupun beberapa surat telah dipanjangkan.

Sinar Harian 23 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment