November 21, 2014

Guru bebas tuduhan rogol kanak-kanak

SEREMBAN - Seorang guru dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Datuk Anita Harun membuat keputusan itu terhadap Mohd Faddil Abdul Rahman, 39, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Anita berkata, mahkamah mengambil kira keterangan saksi ketiga iaitu pakar andrologi yang menyatakan tertuduh mengalami masalah mati pucuk ketika kejadian rogol itu didakwa berlaku.

Mohd Faddil dilihat melakukan sujud syukur selepas hakim membuat keputusan.

Dia sebelum ini didakwa merogol kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun, di sebuah rumah di Seremban 3 di sini, pada 14 dan 15 September tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam John Fernandez. - Bernama

20 November 2014


Cikgu sujud syukur

Seremban : Seorang guru Matematik melakukan sujud syukur sejurus dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua pertuduhan merogol muridnya di rumahnya pada September tahun lalu.

Mohd Faddil Abdul Rahman, 39, melakukan sujud syukur itu di luar kandang pesalah sejurus selepas Hakim Datuk Anita Harun membacakan penghakiman lisannya.

Dia yang memakai kot hitam dan bertali leher kelihatan tenang sebelum dilihat menadah tangan dan mengusap muka serta melakukan sujud syukur di tepi kandang pesalah.

Tertuduh juga bersalaman dan memeluk Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farid Mohd Mokhtar serta peguamnya, John Fernandez dan K Munjeet Singh.

Sementara itu, Anita berkata, mahkamah meneliti keseluruhan hujah dan keterangan saksi serta mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan khususnya berkaitan isu utama dihujahkan peguam bela bahawa tertuduh mengalami mati pucuk ketika kejadian rogol itu didakwa berlaku dan mengemukakan saksi pakar andrologi iaitu Dr Mohd Ismail Mohd Tambi.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan Dr Mohd Ismail yang juga saksi pembelaan ketiga terdapat kemungkinan tertuduh mengalami mati pucuk sejak tiga tahun lalu dan tidak boleh melakukan penetrasi, sekali gus tiada rogol berlaku.

myMetro 21 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment