November 21, 2014

Buat penat je...

Subang Jaya: Seorang ahli geng pecah rumah tercungap-cungap kepenatan sebelum menyerah diri selepas dikejar seorang pekerja pendawaian sejauh lebih dua kilometer.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, suspek berusia 30-an tidak sempat memecah masuk rumah di SS 12/4, Subang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, suspek sebelum itu dikatakan merancang menceroboh rumah milik seorang pekerja pendawaian bersama seorang lagi lelaki.

Bagaimanapun, pemilik rumah berusia 26 tahun itu dikatakan terserempak dua suspek terbabit yang menaiki motosikal Honda EX5 di hadapan rumahnya.

“Suspek yang menyedari kepulangan mangsa sempat melarikan diri dan meninggalkan motosikal serta topi keledar yang dicuri dari rumah mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian nekad mengejar salah seorang suspek sejauh kira-kira dua kilometer sebelum berjaya menghalang dan menahan suspek berhampiran bulatan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya.

Katanya, mangsa kemudian menyerahkan suspek kepada pihak polis dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya jam 6.20 petang.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak manakala rakannya yang masih bebas diburu polis,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki warga Indonesia dan tinggal di Pangsapuri Sri Tanjung, manakala motosikal yang dirampas disyaki kepunyaan rakan sejenayahnya.

myMetro 21 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment