November 21, 2014

Bilah mesin rumput ragut nyawa sepupu

LUKA pada belakang badan mangsa.

Balik Pulau: "Arwah sempat menoleh dan menjerit meminta saya berhenti memotong rumput," kata Vira Osman, 34, sepupu kepada Mohamad Nazri Mohd Noor, 23, yang maut selepas terkena serpihan mata pemotong rumput ketika bekerja di dusun durian berhampiran kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, di sini, petang kelmarin.

Vira berkata, dia yang tidak mengetahui apa menimpa sepupunya itu mematikan mesin pemotong rumput dan terkejut apabila mendapati darah memancut keluar dari belakang badan lelaki itu sebelum arwah rebah.

"Ketika itu, saya bekerja di bahagian atas bukit, manakala arwah berada di bawah kerana menebang pokok getah menggunakan gergaji mesin.

"Melihatkan keadaan sepupu yang rebah dengan badan berlumuran darah, saya dan rakan bergegas ke arahnya untuk memberikan pertolongan," katanya ketika ditemui di rumah arwah di Mukin 1, Pulau Betong, di sini, semalam.

Vira berkata, sejurus menghampiri sepupunya itu, dia terkejut melihat bahagian kiri belakang badan arwah mengalami luka besar dan dia ketika itu masih bernyawa, namun dalam keadaan lemah.

myMetro 21 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment