October 31, 2014

Pesan andaman terakhir

MAYAT Rosmah, Fatimah dan Mohamad Fayad dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Endau: “Arwah berpesan kepada seorang rakannya supaya mengambil alih kerja mengandam pengantin jika dia tidak sempat pulang esok (hari ini) kerana memenuhi permintaan seorang lagi pelanggan di Kota Tinggi,” kata Rosnah Muda, 17, adik kepada Rosmah, 28, dan Fatimah, 24, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 61.2 Jalan Johor Bahru-Mersing, kelmarin.

Menurut Rosnah, kedua-dua kakaknya itu sepatutya pulang ke Endau hari ini untuk mendandan pasangan pengantin baru di Kampung Air Tawar di sini, tetapi mereka terpaksa menunaikan permintaan pelanggan di Kota Tinggi, semalam kerana tempahan sudah diterima lebih awal.

“Rupa-rupanya pesanan kakak itu petanda dia dijemput Ilahi sebelum sempat menunaikan hasrat kedua-dua pelanggan mereka di Kota Tinggi dan Endau.

“Walaupun kami sekeluarga terkejut dengan kejadian itu, kami reda dengan dugaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Haji Ariffin, di sini, semalam.

Ibu saudara dua beradik itu yang hanya mahu dikenali sebagai Khatijah, 56, berkata, sehari sebelum kejadian Rosmah dan Fatimah meminta maaf kepadanya kerana tidak dapat menunaikan permintaan membeli komputer riba kerana kesuntukan masa.

“Tak sangka permohonan maaf itu adalah yang terakhir,” katanya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Kempit di sini, pagi semalam.

Sementara itu, adik bongsu mereka Nor Syafikah, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin, di sini yang parah kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail dan keadaannya dilaporkan stabil.

myMetro 25 Okt 2014


Tidak pernah ke KL sejak kecil

Endau: Mohamad Fayad Abdul Rahman, 21, seorang daripada tiga sahabat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 61.2 Jalan Johor Bahru-Mersing, malam kelmarin sempat menghubungi ahli keluarganya setengah jam sebelum kejadian.

Mangsa, anak sulung daripada lima beradik itu menghubungi ibu bapanya yang ketika itu bercuti di Felda Endau di sini, memaklumkan dia dalam perjalanan pulang ke FELDA Tenggaroh, Mersing dan meminta ibu bapanya itu pulang segera kerana ingin bertemu.

Menurut ibu Mohamad Fayad, Siti Zubaidah Sopie, 41, beberapa hari sebelum kejadian anaknya tidak selera makan selain menyatakan hasrat ke Kuala Lumpur bersama kerana tidak pernah ke sana sejak kecil.

“Saya melarangnya kerana bimbang keselamatannya memandangkan arwah berhasrat ke Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal, namun apa yang saya bimbangkan itu berlaku di tempat lain.

“Ketika menerima panggilan rakan yang tidak dikenali, kami seperti tidak percaya kerana dia baru saja menghubungi kami memaklumkan dia dalam perjalanan pulang ke FELDA Tenggaroh,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Jenazah Mohamad Fayad dituntut keluarganya sebaik selesai bedah siasat di Hospital Kota Tinggi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 5, FELDA Endau, di sini, pagi semalam.

Dua lagi rakannya, Mohamad Shafie Pechek, 21, dan Mohd Nizam Hassan, 29, turut dikebumikan pagi semalam di FELDA Tenggaroh 5, Mersing.

myMetro 25 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment