October 31, 2014

Niat cuti tukar tragedi


Kota Tinggi: Ungkapan Penolong Pengurus FELDA Bukit Easter, Ruhaizad Said, 48, mahu berehat sepuas-puasnya bersama ahli keluarga sempena cuti hujung minggu bertukar menjadi tragedi apabila dia bersama isteri, anak dan ibu mentua maut dalam kemalangan di Kilometer 46, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Kampung Bukit Samsu, di sini, semalam.

Pengurus FELDA Bukit Easter Othman Paimon, 40-an, berkata, kali terakhir dia bertemu Ruhaizad petang kelmarin dan menyatakan hasrat mahu meluangkan masa bersama ahli keluarganya pada cuti hujung minggu dan curi umum Awal Muharam hari ini.

“Arwah seorang yang prihatin dan mengambil berat berkaitan ibu mentua yang sakit tua kerana kerap membawanya pulang ke rumah di FELDA Bukit Easter.

“Saya terkejut dan tidak percaya apabila menerima panggilan telefon memberitahu Ruhaizad dan tiga lain maut dalam kemalangan jalan raya pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kota Tinggi (HKT).

Sementara itu, abang Azliza, Azman Osman, 52, berkata, keluarga itu juga sepatutnya menjemput anak saudaranya, Atirah, 18 pada hari kejadian.

Menurutnya, gadis berkenaan menuntut di Politeknik Merlimau, Melaka dan kembali ke Johor menyiapkan tugasan kuliahnya dengan menunggu ketibaan ahli keluarganya di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini.

Katanya, Atirah menunggu berjam-jam selain bimbang kerana panggilan telefonnya tak berjawab.

“Dua hari lalu, saya bermimpi ibu saya seperti kelihatan muda dan dia bertanya khabar sambil berkata kami sudah sudah lama tidak bertemu.

“Mereka pergi sekelip mata, tetapi apakan daya itu adalah suratan yang kami sekeluarga harus terima dengan reda,” katanya.

Azman berkata, semua jenazah di bawa ke Masjid Jamek Kota Tinggi selepas urusan bedah siasat sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Bendahara Kampung Makam malam tadi.

Difahamkan, ketika kejadian Ruhaizad mahu menghantar ibu mentuanya ke rumah keluarga di Kota Tinggi sebelum meneruskan perjalanan ke pusat Bandaraya Johor Bahru mengambil Atirah.

Atirah ketika ditemui di pekarangan bilik mayat kelihatan sebak dan masih terkejut dengan apa yang berlaku ke atas keluarganya itu.

myMetro 25 Okt 2014


Ajal empat sekeluarga

Kota Tinggi: Empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza maut dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Kampung Bukit Samsu di sini, pada jam 10.15 pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah Penolong Pengurus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Bukit Easter, Ruhaizad Said, 48; isterinya, Aliza Osman, 45; anak bongsu lelaki, Muhammad Zaki, 13 dan ibu mentua Ruhaizad, Hainee Jamil, 70.

Kejadian berkenaan membabitkan tiga kereta termasuk milik Ruhaizad, Proton Satria Neo dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish.

Pemandu Satria Neo, Muhammar Mas Bakri, 21, mengalami kecederaan parah dan menjalani rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Empat sekeluarga itu dibedah siasat di HKT.

Kesemua jenazah dijangka dikebumi di Kampung Makam Bendahara, Kota Tinggi selepas solat Isyak.

myMetro 24 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment