October 21, 2014

Lelaki maut, 3 cedera nahas di Jalan Merotai – Tawau

TAWAU: Seorang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan kereta Toyota Fortuner dan Isuzu D-Max, di Jalan Merotai – Tawau, Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata mangsa dikenali sebagai Zainul Abidin Hussain, 63, yang memiliki alamat di Perai, Pulau Pinang.

“Mangsa, penumpang di bahagian hadapan kenderaan Toyota Fortuner meninggal dunia akibat pendarahan dalaman,” katanya di sini, Rabu.

Awang berkata tiga lagi mangsa mengalami kecederaan parah akibat impak kemalangan terbabit yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Mereka dikenali sebagai Ahmad Fuad Mohd Jeffery, 26, Lahad Datu, Putri Nursumaiyah Ahmad Fuad, empat, Felda Kalabakan, dan Kesdey Maijar, 32, Kota Marudu.

“Ahmad Fuad mengalami pendarahan dalaman, Nursumaiyah patah kedua kaki, tangan kiri dan bahu, manakala Kesdey (pemandu Toyota Fortuner) patah ibu jari kaki,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil siasatan mendapati kemalangan itu disyaki berpunca daripada kenderaan dipandu Ahmad Fuad yang dalam perjalanan menghala ke Merotai.

Menurutnya, kenderaan Isuzu D-Max dipandu Ahmad Fuad cuba memintas beberapa buah kenderaan sebelum hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kenderaannya bertembung dengan kenderaan dinaiki si mati yang dalam perjalanan dari Syarikat Ikut Maju Sdn Bhd di Merotai Besar menuju ke Hotel Promenade,” katanya.

Menurutnya, si mati disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tawau dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan Borneo 16 Okt 2014


0 comments:

Post a Comment