October 31, 2014

Kepala, tubuh terpisah 40 meter


Sungai Petani: Seorang pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di Jalan Lencongan Timur, berhampiran Bandar Perdana, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam, mangsa, Mohd Nasri Rusydi Yusof, 19, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Bandar Puteri Jaya dipercayai untuk bertemu dengan rakannya.

Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangi terbabas menyebabkan mangsa terpelanting mengakibatkan lehernya terkena simen penghadang jalan mengakibatkan kepalanya terputus.

Rakan mangsa, Mohd Ammar Faris Zainol, 19, berkata, arwah ada menelefon memberitahu dia mahu ke rumahnya untuk menghantar motosikalnya tetapi beberapa minit kemudian dia menerima panggilan arwah terbabit dalam kemalangan dan mati di tempat kejadian.

“Tidak sampai tiga minit lepas itu saya menerima telefon dari seorang rakan memberitahu yang Mohd Nasri terbabit dalam kemalangan dekat Bandar Perdana. Saya macam tidak percaya kerana baru saja habis bercakap dengan arwah melalui telefon.

“Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat keadaan arwah. Ketika itu saya hanya nampak tubuh tetapi kepalanya tiada. Sebaik menutup tubuh arwah dengan beg plastik, saya dan rakan segera mencari kepalanya di kawasan terbabit.

“Kami menemui kepalanya di tengah jalan kira-kira 40 meter dari tubuhnya. Ketika itu saya dan rakan tidak sanggup melihat malah begitu sedih melihat keadaan tubuh arwah,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, malam Ahad lalu, mereka bersama-sama meraikan ulang tahun kelahiran Mohd Nasri ke-19 tahun di Taman Jubli Perak, di sini, dan arwah ada menyatakan dia tidak mahu lagi menunggang motosikal RXZ itu kerana bermasalah.

Sementara itu, jurucakap trafik Kuala Muda berkata, kemalangan berlaku selepas mangsa dipercayai cuba mengelak objek di tengah jalan menyebabkan motosikal mangsa gagal dikawal lalu terbabas.

“Akibat kejadian itu, kepala dan badannya terpisah sejauh 40 meter menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Polis masih melakukan siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk bedah siasat,” katanya.

myMetro 23 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment