October 21, 2014

Janin ditemui pada perangkap sampah di Sungai Segambut

JANIN yang sudah cukup sifat dianggarkan berusia antara lima hingga enam bulan itu ditemui pekerja terbabit kira-kira jam 11 pagi sebelum melaporkan perkara itu pada pihak polis. - Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan tidak menyangka objek terapung kelihatan seperti anak patung yang ditemuinya ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan perangkap sampah di Sungai Segambut, di sini pagi tadi sebenarnya adalah janin yang dibuang.

Janin yang sudah cukup sifat dianggarkan berusia antara lima hingga enam bulan itu ditemui pekerja terbabit kira-kira jam 11 pagi sebelum melaporkan perkara itu pada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata walaupun janin berkenaan sudah cukup sifat namun jantina dan bangsanya tidak dapat dipastikan.

"Sepasukan anggota forensik dipanggil untuk membuat pemeriksaan di lokasi janin ditemui dan siasatan sehingga kini masih diteruskan untuk mengesan suspek yang melakukan perbuatan kejam itu.

"Janin terbabit kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat," katanya.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Berita Harian 21 Okt 2014


0 comments:

Post a Comment