October 21, 2014

Hanya mampu beri bayi air gula

Muhammad Nazmir (Kiri), Nurul Nadia (dua, kanan), Fatimah (kanan) serta Zakian Anuar yang terlantar sakit akibat kemalangan.

GEORGETOWN - Akibat dihimpit kemiskinan, seorang ibu di Green Garden Paya Terubong, di sini, hanya mampu memberi air gula kepada bayinya yang baru berusia setahun.

Lebih menyedihkan, rumah mereka sekeluarga hanya diterangi cahaya lilin sejak dua bulan lalu apabila gagal melunaskan bil elektrik yang tertunggak malah terpaksa mengangkut air dari luar rumah untuk keperluan harian.

Nurul Nadia Zulkifli, 25, berkata, setiap kali memberi minuman kepada anaknya, hatinya merintih dan menangis kerana bayinya itu tidak selesa seperti bayi lain.

“Gaji suami hanya RM25 sehari, jadi cukup untuk beli makan sahaja, nak beli susu anak pun tidak cukup duit.

“Dalam kesempitan hidup kami, ada saudara membantu,” katanya.

Nurul Nadia berkata, akibat terpaksa minum air gula setiap hari, badan bayinya, Mohd Nizar Muhammad Nazmir, kian susut dari hari ke hari, selain dua lagi anaknya Mohd Nizam Muhammad Nazmir, 3, dan Nazim Arfan Muhammad Nazmir, 5, juga kurus kerana setiap hari mereka sekeluarga menikmati nasi berkuah air kosong sahaja.

Suaminya, Muhammad Nazmir Abdullah, 27, merupakan seorang mualaf yang bekerja sebagai buruh terpaksa berhenti kerja kerana tamat perkhidmatan sejak seminggu lalu.

Malah, tugasnya tidak terhenti setakat itu sahaja, Nurul Nadia dan suami turut bertanggungjawab menjaga anak saudaranya, Zakian Anuar Mohd Abbas, 17, yang terlantar sakit akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, dan kakaknya, Fatimah Zulkifli, 33, seorang ibu tunggal.

“Meskipun sedar akan risiko penggunaan lilin setiap hari, kami tiada pilihan bahkan kesemua anak juga sudah lali serta memahami keperitan hidup ditanggung serba kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan keluarga terbabit.

“Saya meminta pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) memantau mereka yang susah terutama melibatkan mualaf,” katanya.

Sinar Harian 11 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment