October 21, 2014

Cari tuan rumah tapi jumpa mayat


CHEMOR – Niat seorang lelaki mencari tuan rumah yang ingin dibelinya terbantut apabila menemui pemiliknya terbaring dalam keadaan kaku di Medan Klebang Restu di sini, malam kelmarin.

Dia yang dibawa oleh jiran kawasan perumahan terus lari lintang pukang setelah tercium bau busuk mayat tersebut.

Jirannya, Hamid Badaruddin, 60, membawa lelaki berkenaan ke rumah mangsa, untuk berbincang harga rumah yang ingin dijual mangsa setelah berminat dengan rumah terbabit.

“Saya membawa dia pergi ke rumahnya kerana lelaki berkenaan tidak tahu lokasi rumahnya. Kami beri salam beberapa kali tetapi tiada yang menyahut. Saya percaya dia ada di dalam sebab keadaan rumahnya yang terang.

“Kami pun buat keputusan untuk selak langsir tingkap bilik tidurnya dan terkejut apabila nampak dia (mayat) terbaring atas katil dengan bau busuk,” katanya yang turut menghubungi pihak polis.

Adik mangsa berkata, abangnya tinggal sendirian di rumah itu kerana tidak pernah berkahwin selain disifatkan sebagai seorang pendiam.

“Arwah ada menyatakan untuk menjual salah sebuah rumahnya kerana dia tinggal seorang diri. Lama juga kami tidak bertemu dan bersyukur penduduk di sini menemui abang saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang bekerja sebagai peniaga pasar malam ditemui jiran dengan keadaan mayat yang telah berbau dan bengkak.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang perbuatan jenayah dan mangsa tinggal seorang diri. Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian 21 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment