October 31, 2014

Budak kritikal kerana gelang getah

MANGSA gagal mengimbangi diri sebelum terjatuh. FOTO Muhammad Sulaiman

Klang: Akibat mahu mengambil gelang getah yang tersangkut, seorang kanak-kanak berusia 8 tahun kritikal selepas terjatuh dari tingkat lima di Pangsapuri Amazing Height, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, beliau difahamkan murid tahun dua terbabit cuba mengambil gelang getah yang tersangkut di belebas koridor bangunan pangsapuri berkenaan.

"Mangsa kemudian gagal mengimbangi dirinya sebelum terjatuh ke tingkat bawah bangunan itu.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta pinggul dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, dekat sini untuk menerima rawatan," katanya.

myMetro 26 Okt 2014


Kritikal jatuh tingkat 5

Klang: Tindakan berani seorang kanak-kanak cuba mengambil gelang getah di belebas koridor tingkat lima apartmennya membawa padah apabila dia tergelincir sebelum terjatuh ke tingkat bawah.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di Amazing Height, Sungai Udang, di sini, semalam, mangsa berusia lapan tahun dilaporkan kritikal berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya.

Menurut bapa rakan mangsa, Rizman Abdullah, 38, ketika kejadian mangsa dan dua anaknya sedang bermain di koridor tingkat lima apartmen berkenaan apabila murid tahun dua itu tiba-tiba mahu mengambil gelang getah yang tersangkut di belebas koridor berkenaan.

“Dia kemudian gagal mengimbangkan badan selepas cuba bangun ketika sudah melepasi gril dapur rumah di situ sebelum terjatuh.

“Kedua-dua anak saya kemudian terus turun ke bawah untuk memaklumkan ibu mangsa yang tinggal di tingkat bawah, namun tiada sesiapa di rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.

Keluarga mangsa bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian.

myMetro 27 Okt 2014


‘Ingat penduduk baling sampah’

ORANG ramai melihat mangsa yang terjatuh dari tingkat lima. 

Klang: Kebanyakan penduduk apartmen Amazing Height, Sungai Udang di sini, tidak menyangka bunyi dentuman kuat didengar petang kelmarin, berpunca seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang terjatuh dari tingkat lima kediaman itu.

Kebanyakan mereka menyangka ia adalah bunyi bungkusan sampah dibuang penduduk dari tingkat atas kediaman sebelum menyedari seorang kanak-kanak lelaki terbaring berlumuran darah.

Seorang jiran mangsa, Faezah, 40-an, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Syakir Iman Badarudin dikatakan tinggal bersendirian di rumah.

Menurutnya mangsa adalah bekas pelajar tahun dua sebuah sekolah agama Integrasi di Klang.

“Mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu dikatakan kerap ditinggalkan bersendirian di rumah yang terletak di tingkat satu dan akan naik ke tingkat atas pangsapuri untuk bermain bersama rakan lain.

“Saya yang berada di dalam rumah terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur sebelum meminta anak melihat apa yang berlaku.

“Ketika itu saya bersiap untuk pergi kenduri di surau. Pada mulanya saya sangkakan jiran di tingkat atas membuang sampah melalui tingkap, namun tergamam apabila mengetahui ada kanak-kanak terjatuh,” katanya

myMetro 28 Okt 2014


Hasrat Aqil nak jadi ustaz tak sampai

Kenangan terakhir Aqil bersama kakaknya, Shahnas.

Aqil dikatakan meniti di ruangan ini untuk mengambil gegelang getah sebelum tergelincir jatuh. 

KLANG - “Arwah Aqil menyimpan hasrat nak jadi imam dan ustaz suatu hari nanti... disebabkan impian nak melihatnya bergelar ustaz, saya ada hajat nak hantar dia masuk sekolah tahfiz tahun depan.

Tapi tulah..." begitulah luahan Rohani Ahmad yang tidak mampu menghabiskan kata-kata kerana terlalu sebak mengenangkan anaknya, Allahyarham Muhammad Shakir Iman Badaruddin, 8, yang meninggal dunia kelmarin.

Ibu berusia 49 tahun ini memberitahu, arwah yang mesra dengan panggilan Aqil maut selepas terjatuh dari tingkat lima, Apartment Amazing Height, di sini Ahad lalu.

Katanya, Aqil dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada hari kejadian bagaimanapun disahkan meninggal dunia kelmarin sekitar jam 2 petang setelah tiga hari mendapatkan rawatan.

Kakitangan Kewangan di Sirim Shah Alam ini berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu sudah didaftarkan di sebuah sekolah Tahfiz di Telok Gong dan bakal mengikuti pengajian pada Januari 2015.

“Saya dah rancang nak bawa dia beli baju dan peralatan sekolah minggu depan. Tapi, impian tu tak jadi kenyataan... Aqil pergi tinggalkan saya selama-lamanya," katanya yang reda atas ketentuan ALLAH SWT walaupun belum kuat melupakan keletah manja Aqil.

Dia yang ditemui Sinar Harian di kediamannya di Blok B, Apartment Amazing Height di sini, memberitahu, telinganya masih terngiang-ngiang permintaan Aqil yang ingin segera masuk sekolah tahfiz.

“Banyak kali dia minta, tapi saya kata nanti dulu... saya minta dia sabar. Dia juga selalu beritahu nak sangat menunaikan umrah bersama saya, kakak dan abangnya,” katanya.

Kesedihan ibu ini masih jelas kelihatan apabila percakapannya sering terhenti kerana cuba menahan sebak dan sering dilihat mengerdip-kedipkan matanya seolah-olah menahan air mata yang bergenang mengalir keluar.

Bercerita lanjut, Rohani berkata, sebelum terjatuh dari tingkat lima, Aqil bermain bersama dua rakannya di tingkat berkenaan.

“Saya dimaklumkan Aqil nak ambil gelang getah yang tersangkut di bahagian balkoni dengan meniti di laluan tu dan tergelincir sebab gagal seimbangkan badan. Aqil jatuh timpa motosikal yang di parkir bawah blok B.

"Kepala Aqil parah. Dia dikejarkan ke HTAR. Ya ALLAH..." katanya sambil melepaskan nafas yang tersekat perlahan-lahan.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan abang sulung Aqil, Shah Zamil, 21.

"Kira-kira jam 2 petang abang dia beritahu saya. Masa tu, saya di Sirim menghadiri satu majlis. Perasaan tak tahu nak cakap masa tu, serba tak kena... dalam hati saya tak putus-putus berdoa agar anak saya selamat.

“Selepas dirawat beberapa hari, doktor maklumkan tempurung kepala Aqil retak dan harapan amat tipis. Masa tu rasa nak gugur jantung ni... ALLAH je tahu.

"Tapi ye lah... takdir ALLAH tak siapa dapat halang. Daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH juga kita kembali... Sekitar jam 2 petang, Aqil disahkan tak ada lagi.

"Masa tu dia dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan dari HTAR,” katanya sambil memberitahu masih terasa kehangatan tangan Aqil dalam genggamannya.

Jenazah murid Sekolah Islam Al Farabi, Kampung Delek itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sireh, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sinar Harian 30 Okt 2014


0 comments:

Post a Comment