October 21, 2014

Anak gagal dihubungi rupanya sudah mati

KOTA SAMARAHAN: Kerisauan seorang bapa selepas seharian gagal menghubungi anaknya terjawab apabila anaknya ditemui mati di dalam rumahnya di Taman Samarindah, di sini kelmarin.

Mangsa ialah Don Henry Kulgoh berusia 26 tahun dan berasal dari Padawan.

Menurut sumber, bapa mangsa mengesyaki ada perkara buruk menimpa anaknya itu apabila pangilan telefonnya tidak dijawab menyebabkan dia terus pergi ke rumah anak sulungnya itu sekitar jam 7 malam Jumaat lepas.

Bagaimanapun sebaik tiba di rumah tersebut, si bapa mendapati rumah tersebut berkunci dari dalam.
“Sebaik berjaya memasuki rumah tersebut, dia (bapa) menemui anaknya terbaring kaku di ruang tamu dan tidak lagi bernyawa,”kata sumber.

Bapa mangsa kemudian terus menghubungi pihak ambulans namun mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan tiada unsur jenayah ditemui di rumah mangsa dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia di HUS pagi semalam selepas dipercayai menggantung diri di rumahnya di Stampin, dekat sini malam kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Chong berusia 67 tahun meninggal dunia sekitar jam 8 pagi semalam dan mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk tujuan pengebumian.

Utusan Borneo 19 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment