September 21, 2014

Tembung maut

TERBUNUH: Mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 46, Jalan Tanjung Manis, semalam. — Gambar See Hua

MAUT: Mayat pemandu Corolla diangkat oleh anggota bomba. — Gambar See Hua


REMUK TERUK: Keadaan Hilux dan Corolla selepas pertembungan itu. — Gambar See Hua

Dua terbunuh, enam cedera dalam nahas Hilux dan Corolla di Jalan Tanjung Manis

SIBU: Dua maut manakala enam cedera dalam kemalangan jalan raya selepas kereta Toyota Hilux bertembung Toyota Corolla di Kilometer 46, Jalan Tanjung Manis dekat sini, tengah hari semalam.

Mangsa terkorban dikenal pasti sebagai Lu Ding Sing, 59, berasal dari Bintangor, manakala seorang lagi mangsa dipercayai warga Indonesia, tidak mempunyai pengenalan diri.

Dalam kejadian yang berlaku berhampiran Jambatan Setubah, Jalan Sibu-Tanjung Manis pada jam 12.45 hari itu, dua lelaki yang menaiki Hilux dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Manis untuk menghantar pekerja asing ke tapak pembinaan di kawasan persisiran pantai, manakala Corolla berkenaan menuju ke arah bertentangan.

Akibat pelanggaran itu, salah seorang penumpang bahagian belakang Hilux dikatakan tercampak keluar dan kepalanya terhantuk di jalan raya sekali gus dipercayai menyebabkan kematiannya.

Manakala, Lu yang memandu Corolla, dipercayai mati di lokasi kejadian.

Lima penumpang lain kedua-dua kenderaan turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sibu.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.54 tengah hari mengerah PBKII Mijan bersama tujuh anggota menaiki kenderaan Scania tiba di lokasi kemalangan pada jam 1.33 petang.

Kedua-dua mayat kemudiannya dihantar ke bilik mayat Hospital Sibu untuk tindakan susulan.

Utusan Borneo 18 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment