September 21, 2014

Sempat capai buku rujukan UPSR

Keadaan rumah Mad Shah selepas bumbung dan atap diterbangkan angin ribut.

PONTIAN - “Mujur buku rujukan Bahasa Inggeris dan Sains, sempat saya capai dan bawa masuk ke dalam kereta ketika kami sekeluarga menyelamatkan diri dari ribut,” kata Nurul Hazwani Mad Shah, 12,  dari Kampung Parit Haji Ahmad, Ayer Baloi, di sini.

Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 itu mengakui berkemungkinan tidak memiliki bahan rujukan untuk peperiksaan ulangan melibatkan subjek berkenaan pada 30 September ini, jika tidak berbuat demikian.

Kejadian ribut kira-kira jam 3 petang kelmarin, mengakibatkan kerosakan pada bahagian bumbung dan atap rumah keluarga berkenaan.

Bapanya, Mad Shah Mohd Amin, 47, berkata, kejadian ribut tidak sampai lima minit itu mengakibatkan seluruh rumahnya dimasuki  hujan selepas bumbung rumah diterbangkan angin sejauh kira-kira 20 meter.

“Saya sedang makan tengahari, manakala isteri saya, Norhayati Lamasek, 46, sedang menjahit pakaian yang ditempah pelanggan sementara dua orang anak sedang mengulangkaji pelajaran ketika kejadian.

“Kami dikejutkan dengan bunyi dentuman yang begitu kuat yang disangka kemalangan jalan raya, tetapi rupanya bumbung sudah diterbangkan angin," katanya.

Hujan lebat berserta angin kencang turut merosakkan bumbung lapan kediaman lain di beberapa buah kampung di Benut dan menghalang laluan utama di Jalan Jaafar dan Jalan Benut-Batu Pahat.

Penghulu Mukim Benut, Hisham Mazlan berkata, antara kampung yang terjejas adalah Kampung Sungai Besar, Kampung Parit Abdul Rahman dan Pekan Tampok termasuk tiga buah warung.

“Mangsa terlibat diminta buat laporan polis bagi membolehkan bantuan disalurkan oleh pihak berkenaan seperti  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

 Sinar Harian 21 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment