September 16, 2014

Remaja koma dilanggar bot meninggal pagi tadi

Ramlan dan Sabarila sebak ketika di Unit Forensik HTJ. Gmabar kecil: Muhamad Hidayat

SEREMBAN - Remaja yang cedera parah akibat dilanggar bot di pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 7 September lepas, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini pagi tadi.

Menurut bapanya Ramlan Pardi, 50, anaknya Muhamad Hidayat, 23, meninggal dunia pada pukul 5.40 ketika menerima rawatan akibat paru-parunya gagal berfungsi.

"Akibat kejadian itu, anak saya patah rusuk kiri dan mengalami kecederaan dalaman pada paru-parunya hingga menyebabkan dia koma selama seminggu dan meninggal dunia pagi ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata jenazah anaknya akan dibawa ke rumahnya di Kuarters Perumahan Polis Desa Baiduri, Cheras untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas solat zohor.

Dalam kejadian tengah hari itu, Muhamad Hidayat yang sedang mandi di pantai dilanggar bot yang menarik 'bot pisang'.

Semalam pemandu bot pisang itu Mohd Amirol Yasli, 21, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengendalikan bot dengan cuai sehingga menyebabkan kecederaan pengunjung pantai.

Dia dikenakan jaminan sebanyak RM2,500 sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan kes disebut semula pada 16 Oktober.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Zulkifli Adamsah berkata siasatan terhadap pemandu bot terbabit akan diklasifikasi semula berikutan kematian mangsa. - Bernama

16 September 2014


Anak polis parah dirempuh bot

TELOK KEMANG – Seorang anak anggota polis cedera parah akibat dirempuh bot yang menarik bot pisang, ketika sedang mandi-manda di Pantai Telok Kemang sekitar jam 10 pagi, Ahad lalu.

Bapa mangsa, Ramlan Pardi, 50, melihat anaknya Muhammad Hidayat, 23, melambai-lambai tangan memanggilnya seperti meminta bantuan ketika dia sedang mandi di laut.

“Saya yang curiga dengan keadaan itu, segera turun ke laut dan mendapati anak saya mengerang kesakitan dan ada kesan luka di kepala.

“Selepas dimaklumkan dia dilanggar bot, saya segera membawa naik ke darat dan terus menghantarnya ke Hospital Port Dickson,” katanya.

Ramlan yang juga bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras berkata, dia, isteri dan empat anaknya serta keluarga adik iparnya bertolak dari Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira jam 7 pagi untuk ke Telok Kemang, Port Dickson, manakala Muhammad Hidayat dari Johor Bharu.

“Anak lelaki sulung saya itu bekerja sebagai mekanik di Johor Bharu juga mahu mengikuti kami bercuti menyebabkan kami sepakat berjumpa di sana. Kami sudah merancang untuk bercuti di Port Dickson.

“Sebaik tiba, anak-anak terus ke pantai manakala saya duduk di Dataran Kemang. Muhammad Hidayat juga bersama saya bersarapan pagi dan dia memberitahu saya, dia mahu turun ke pantai untuk membasahkan rambutnya,” katanya.

Menurutnya, selepas lima minit anaknya turun ke pantai, berlaku insiden malang itu.

“Selepas melanggar anak saya, pengemudi bot berkenaan meneruskan perjalanan dan tidak memberhentikan botnya...mungkin dia tidak perasan. Dia hanya datang berjumpa saya selepas Muhammad Hidayat mahu dibawa ke HPD,” katanya.

Ekoran kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Lukut, di sini, untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkifli Adamsah berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa, Muhammad Hidayat dilanggar oleh bot yang sedang menarik bot pisang tanpa penumpang yang dipandu seorang pemuda berusia 20 tahun.

“Selepas insiden itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh ayahnya sebelum kes berkenaan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban kerana keadaannya kritikal.

“Doktor mengesahkan mangsa cedera patah tulang rusuk kiri, lengan kiri dan luka di kepala dan laporan terkini, mangsa masih dirawat di HTJ serta keadaannya stabil,” katanya.

Zulkifli berkata, suspek ditahan polis dan direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal polis mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu bot.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana membawa perahu atau bot secara cuai atau lalai,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, bagi memastikan kelancaran aktiviti riadah di pantai MPPD dari masa ke semasa, pihaknya sentiasa menasihat dan mengingatkan pengusaha bot serta jet ski agar beroperasi di luar kawasan awam iaitu kawasan mandi manda dan berkelah.

“Sementara untuk langkah kekal atau jangka panjang MPPD mengambil pendekatan menguatkuasakan undang-undang kecil kraf air.

“Buat masa ini, draf undang-undang kecil kraf air siap digubal oleh jabatan berkaitan bersama wakil pengusaha bot dan jet ski pantai dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Ab Khalid menambah, sekarang draf berkenaan sudah berada di peringkat semakan yang dilakukan  oleh penasihat undang-undang negeri.

“Walau bagaimanapun MPPD berharap  proses berkenaan dapat diteliti sebaik mungkin dan dipercepatkan untuk diluluskan serta dapat dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak,” katanya.

Sinar Harian 10 Sep 2014


Bapa mahu saman pengusaha bot

SEREMBAN - Selepas lebih seminggu bertarung nyawa, lelaki yang cedera parah akibat dilanggar sebuah bot penarik bot pisang atau banana boat di Pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 7 September lalu, meninggal dunia, semalam.

Muhamad Hidayat Ramlan, 23, mengembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya kira-kira 5.40 pagi ketika sedang menjalani rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, semalam.

Ibu mangsa, Sabarila Husin, 46, berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggapnya sebagai ujian buat mereka sekeluarga.

“Ibu mana yang mengharapkan pengakhiran anaknya begini, tapi semuanya telah ditentukan dan saya pasrah.

“Pagi tadi (semalam) selepas adik bongsunya mengucup dahinya, dengan tenang dia mengembuskan nafas terakhir di sisi saya dan adik beradiknya yang lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJ, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian menimpa anaknya itu sangat memberi kesan kepada anak ketiganya yang sempat melihat tragedi itu berlaku.

Malah, katanya, dia sentiasa menasihatkan anak-anaknya agar tenang dan menerima kejadian itu dengan tabah.

“Sebelum ini, setiap hari menjadi rutin saya dan sekeluarga untuk berulang alik ke Seremban untuk menjaga arwah memandangkan kami tinggal di Cheras, Kuala Lumpur.

“Sejak arwah dimasukkan ke hospital setiap hari saya akan bercakap dengannya memberi semangat untuk terus hidup, tapi ALLAH lebih menyayanginya,” katanya.

Allahyarham Muhamad Hidayat pada mulanya menerima rawatan di Hospital Port Dickson sebelum dikejarkan ke HTJ berikutan keadaan yang kritikal.

Dia bagaimanapun dikatakan masih sempat berbual dengan keluarga, sehinggalah 9 September lalu selepas doktor mengesahkan paru-parunya dimasuki air.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Hidayat patah tulang rusuk kiri dan menerima lebih 10 jahitan pada lengan kiri, selain calar di kepala.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya Desa Baiduri, Cheras, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana, Kuala Lumpur.

Bapa bela kematian anak

Sementara itu, bapa Allahyarham, Ramlan Pardi, 50,  berkata, dia bukan saja mahu individu yang menyebabkan kematian anaknya menerima hukuman setimpal, malah turut mempertimbangkan tindakan undang-undang.

“Kes ini tidak boleh dibiarkan dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang berkenaan," katanya.

Menurutnya, hukuman dikenakan kepada pesalah itu bukan semata-mata demi pembelaan terhadap kematian anaknya, tetapi juga atas kepentingan awam.

“Kes kecuaian seperti ini bukan pertama kali berlaku dan sepatutnya mereka memandang serius tentang keselamatan pengunjung di situ. Jangan apabila sudah terhantuk baru nak tengadah.

“Sebab itu saya akan bawa perkara ini ke mahkamah bukan saja terhadap pemandu bot terbabit tetapi juga pihak lain yang berkenaan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJ, di sini semalam.

Menurutnya, sepatutnya ciri-ciri keselamatan dititik beratkan, misalnya menyediakan laluan khas lain agar tidak mengganggu pengunjung yang berada di laut.

Ramlan yang juga anggota polis berkata, dia juga difahamkan perkhidmatan bot pisang itu juga tidak dilindungi insurans.

“Saya tengok pemandunya akan menurunkan mereka dengan cara menjatuhkannya dalam laut. Ini tidak sepatutnya,” katanya.

MPPD tingkat pemantauan

Satu mesyuarat khas diadakan membabitkan pengusaha bot pisang di Pantai Telok Kemang  bagi memastikan langkah-langkah keselamatan dapat diberi perhatian serius oleh mereka, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

Exco Pelancongan negeri, Tun Hairuddin Abu Bakar berkata, pengusaha sepatutnya mengikut peraturan sedia ada kerana ia melibatkan soal keselamatan awam.

“Saya kesal dan sedih dengan kejadian menimpa Muhamad Hidayat. Bagi mewakili kerajaan negeri, saya ucapkan takziah kepada ahli keluarganya dan berharap mereka sabar menerima ujian ini.

“Saya akan pastikan pemantauan dapat dilakukan dari masa ke semasa oleh pihak bertanggungjawab. Paling penting semua pengusaha perlu lebih bersikap prihatin dengan memastikan peraturan dapat dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha bot pisang di daerah ini yang didapati masih tidak menggunakan laluan khas disediakan untuk mereka di Pantai Telok Kemang.

Menurutnya, peraturan berkenaan sudah lama ditetapkan dengan meletakkan penanda boya untuk menghadkan laluan mereka tetapi telah dihilangkan.

“Kita baru sahaja mengadakan perjumpaan dengan semua pengusaha dan penjaga bot pisang di daerah ini untuk memberi garis panduan dan had laluan ditetapkan untuk mereka berikutan terdapat seorang pengunjung maut akibat dilanggar bot pisang ketika mandi.

“Penguatkuasa MPPD juga akan membuat rondaan dan kita berharap semua pengusaha dapat bersama-sama mematuhi garis panduan bagi memastikan keselamatan pengunjung yang datang ke pantai,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Zulkifli Adamshah berkata, siasatan terhadap pemandu bot terbabit akan diklasifikasikan semula berikutan kematian mangsa.

Isnin lalu, pemandu bot berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini, atas tuduhan memandu bot secara gopoh hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh, Mohd Amirol Yasli, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Sinar Harian 17 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment