September 21, 2014

Pelajar lemas bercita-cita menjadi anggota polis

SARIKEI: Dia seorang yang periang dan ceria. Namun dua hari lepas, dia berubah menjadi pendiam.

Itulah perubahan kelakuan Awang Nur Mohamad Qaramullah, 13, sebelum hilang dikhuatiri lemas di muara Sungai Sarikei, petang kelmarin.

Bapanya, Awang Shahrizal Awang Semuni, 35, berkata beliau dan keluarga masih tidak percaya kejadian itu menimpa anaknya.

“Dia rapat dengan semua ahli keluarga dan mempunyai cita-cita yang amat membanggakan, iaitu menjadi seorang anggota polis bila dewasa nanti. Dia juga seorang murid yang aktif dan menjadi atlet di sekolah.

“Sebelum kejadian pada hujung minggu lepas, dia mengikut emaknya pulang ke kampung emaknya di Kabong. Namun, beberapa hari kemudian, dia memberitahu saya yang dia ingin balik ke Sarikei untuk mengikuti latihan sukan di sekolah,” kata Awang Shahrizal.

Menurut beliau, selepas diberitahu demikian, dia terus menjemput Awang Nur Mohamad dan isterinya dari Kabong.

“Awal pagi pada hari kejadian, ibunya mengejutkan Awang dari tidur untuk bertanya sama ada dia akan pergi ke sekolah untuk mengikuti latihan sukan.

“Namun, Awang memberitahu dia tidak jadi pergi ke sekolah kerana terlalu penat dan mahu berehat.

“Selepas itu, saya pergi kerja dan sekitar jam 3 petang semalam (kelmarin), saya menerima panggilan telefon daripada isteri saya yang memberitahu anak saya itu telah hilang di muara Sungai Sarikei,” ujar Awang Shahrizal ketika ditemui media di rumahnya di Jalan Drahman Keria di sini, semalam.

Awang Nur Mohamad merupakan anak sulung keluarga terbabit dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei di Tingkatan 1.

Sementara itu, dua daripada enam rakan mangsa iaitu Mazlan Osman, 13, dan Khairul Azree, 12, yang berada di lokasi kejadian berkata, insiden itu berlaku amat pantas dan umpama mimpi ngeri bagi mereka.

“Ketika kami bertujuh sedang asyik bermain di tebing sungai, tiba-tiba dia (Awang Nur Mohamad) membuka baju lalu cuba terjun ke sungai dengan hanya berseluar dalam.

“Kami cuba melarang­nya kerana dia tidak pandai berenang, tapi dia tidak mengendahkan kami.

“Tiba-tiba dia terus ter­jun dan beberapa saat ke­mudian, kami melihat dia terkapai-kapai ditarik arus sungai yang agak deras,” cerita mereka berdua.

Melihat keadaan itu, kata Mazlan dan Khairul, mereka cuba menyela­matkan Awang Nur Moha­mad dengan menariknya ke tebing sungai, namun tidak berjaya.

“Ketika dia terkapai-ka­pai, kami berjaya menang­kap pergelangan tangannya sebanyak empat kali, tetapi terlepas kerana arus yang agak deras menariknya ke tengah sungai. Tangannya juga agak licin.

“Beberapa minit selepas itu, dia terus tenggelam dibawa arus sungai,” kata mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Suha Kaha ketika ditemui di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Terminal Dua Sarikei semalam berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang kelmarin.

“Sebaik sahaja meneri­ma panggilan tersebut, kami mengerahkan ang­gota untuk melancarkan SAR.

“Hari ini (semalam) adalah hari kedua SAR dilancarkan melibatkan 12 anggota bomba dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (enam anggota), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (4), Jabatan Per­tahanan Awam Malaysia (4) dan kira-kira 20 su­karelawan terdiri dari­pada penduduk Kampung Seberang dan Kampung Drahman Keria.

“Namun setakat jam 4 petang tadi (semalam), SAR masih belum men­emui mangsa. Usaha ini akan kita teruskan esok (hari ini),” kata Suna.

Utusan Borneo 19 Sep 2014


Mayat pelajar lemas ditemui

AL-FATIHAH: Len bersama ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa membaca surah Yasin semalam.

SARIKEI: Mayat mangsa lemas di muara Sungai Sarikei, iaitu pelajar Ting-katan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei, Awang Nur Mohamad Qaramullah, 13, ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang tengah malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Suha Kaha berkata, mayat mangsa ditemui penduduk kampung di tebing Sungai Rajang tidak jauh dari muara Sungai Sa-rikei pada jam 12.54 tengah malam.

“Berdasarkan keterangan serta laporan awal penemuan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan cukup sifat. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga.

“Berikutan penemuan itu, Operasi Mencari dan Menye-lamat (SAR) yang telah dilancarkan sejak dua hari lepas oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei bersama beberapa jabatan kerajaan lain, ditamatkan,” kata Suna ketika dihubungi media, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang Rabu lepas, mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya semasa mandi di muara Sungai Sarikei bersama enam rakannya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai Datu Len Talif Salleh menziarahi keluarga mangsa di Rumah Mayat Hospital Sarikei, semalam.

Len turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar dengan dugaan tersebut.

Len juga menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.

Utusan Borneo 20 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment