September 21, 2014

Pekerja terkejut temui mayat dalam tandas hotel

KUCHING: Pekerja sebuah hotel terkemuka di sini terkejut apabila menemui mayat seorang pelanggan hotel di dalam tandas, semalam.

Difahamkan, mangsa, Jeffrey William Muthu, 65, dari Persiaran Halia 1, Georgetown, Penang ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di dalam tandas berkenaan oleh seorang pekerja yang melakukan pembersihan rutin di bilik mangsa sekitar jam 9 pagi.

Melihat keadaan mangsa sedemikian, pekerja terbabit terus memaklumkan pihak pengurusan yang kemudian menghubungi pihak ambulans, selain turut membuat laporan kepada pihak polis.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang bergegas ke tempat kejadian.

Anggota dari balai polis berhampiran juga tiba di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki, Abraham Lim Kiong Siok, 46, ditemui mati di rumahnya di Matang, di sini petang kelmarin.

Menurut sumber, jiran mangsa menghubungi pihak polis apabila mangsa dikatakan tidak muncul sejak beberapa hari tambahan terdapat bau busuk dari dalam rumah mangsa.

“Sejurus ketibaan polis, mereka memeriksa rumah berkenaan yang berkunci dari dalam dan menemui mayat mangsa yang sudah hampir reput dan berbau,” kata sumber.

Bagaimanapun, siasatan awal di tempat kejadian difahamkan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa kemudian dikejarkan ke HUS untuk bedah siasat.

Kedua-dua kes berkenaan sehingga berita ini ditulis semalam diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Utusan Borneo 18 Sep 2014


0 comments:

Post a Comment