September 21, 2014

Mayat pemandu lori dipercayai dibunuh ditemui dalam semak

Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira 7.24 malam.
ROMPIN: Mayat seorang pemandu lori dipercayai dibunuh ditemui dalam semak di tepi jalan di Km121, Jalan Kuantan-Segamat dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira 7.24 malam.

Katanya mangsa dikenali pasti sebagai Rosli Hamdan, 52, yang merupakan seorang pemandu lori dan telah berkahwin serta tinggal di Jementah, Segamat.

"Pemeriksaan pada mayat turut mendapati kesan cedera di bahagian belakang kepala sebelah kiri dan jari telunjuk kanan dipercayai telah patah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis menemui sebatang rotan di tempat kejadian dan sepasang kasut dipercayai milik mangsa.

Katanya, mayat pemandu lori itu dihantar ke Hospital Muadzam Shah dekat sini untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. - Bernama

21 Sep 2014


Suspek kes bunuh pemandu lori dikenal pasti

KUANTAN - Polis telah mengenal pasti suspek yang disyaki terlibat dengan kes seorang pemandu lori yang ditemui mati dalam semak di tepi jalan berhampiran Kilometer 21 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin lewat petang Sabtu lepas.
 
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, polis kini menjalankan operasi bagi memburu suspek yang dipercayai lebih daripada seorang.

"Polis juga telah berjaya mengesan lori mangsa yang dilarikan melalui sistem penentu kedudukan global (GPS), yang ditinggalkan di tepi jalan dekat Linggi, Negeri Sembilan petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama.
 
Polis juga, katanya masih menyiasat motif sebenar kematian mangsa sama ada disebablan samun atau sebab lain.
 
Beliau berkata, jenazah mangsa yang sudah berkahwin serta mempunyai enam orang anak juga sudah dituntut untuk dikebumikan.

Mangsa yang menetap di Taman Ria Jementah, Segamat itu ditemui mati oleh orang awam pada pukul 7.24 malam.
 
Pemeriksaan pada mayat mendapati terdapat kesan kecederaan di belakang kepala sebelah kiri serta jari telunjuk kanan mangsa dengan sebatang rotan turut ditemui di tempat kejadian.  - Bernama

22 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment