September 21, 2014

Lori sampah gilis remaja

POLIS menyiasat di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan ambulans.

Shah Alam: Seorang pelajar yang dalam perjalanan ke rumah rakannya maut selepas digilis lori sampah yang kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian di Jalan Kampung Jawa, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, SK Rubenraaj, 15, menunggang motosikal Modenas Kris hitam dari arah Taman Sentosa menghala ke Kampung Jawa maut serta-merta di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Difahamkan, mangsa dari rumahnya di Taman Sentosa, di sini, dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kampung Jawa tidak memakai topi keledar, malah mangsa juga tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Trafik/Bahagian Ketenteraman Awam Klang Selatan Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, ketika tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa bergesel dengan lori sampah dari arah sama.

“Akibatnya mangsa terjatuh sebelum digilis lori berkenaan di tayar belakang sebelah kiri dan pemandu lori berkenaan juga tidak memberhentikan kenderaannya.

“Mangsa maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan hasil dari bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Rosly, siasatan awal mendapati mangsa tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di jalan berkenaan selain tidak mempunyai lesen memandu.

Malah, motosikal yang ditunggangi juga bukan milik mangsa.

“Saksi di tempat kejadian memberi kerjasama dengan memberi maklumat berhubung kejadian dan pihak kita sudah mendapat nombor pendaftaran lori sampah yang terbabit dalam kemalangan ini.

“Kita akan mengesan pemilik kenderaan berkenaan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) sekiranya pemilik kenderaan berkenaan masih tidak membuat laporan polis,” katanya.

myMetro 21 Sep 2014




0 comments:

Post a Comment