September 21, 2014

Lelaki warga emas maut motor rempuh belakang lori

IPOH 19 Sept. - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 354.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, mangsa, Lii Sii Yu @ Lee See Yew, 69, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Som Sak Din Keliaw berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki gagal mengelak lalu merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan.

"Pemandu lori memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan untuk membaiki jalan. Bagaimanapun belum sempat pemandu terbabit turun dari lori itu, Sii Yu telah merempuh belakang kenderaan tersebut.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Som Sak, polis sedang menyiasat punca kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan 20 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment