September 16, 2014

Kotak inilah tilam ku

GEORGETOWN - Tepat jam 12 tengah malam, suasana di sekitar perhentian bas Komtar menjadi lengang.

Pada waktu itu jugalah dari jauh kelihatan beberapa lelaki yang sudah mencecah usia senja melangkah masuk ke perhentian tersebut.

Salah seorang daripada mereka dengan segera mengeluarkan kotak dari plastik hitam yang diletakkan di atas basikalnya.

Mencecah usia 70 tahun, Ahmed dari Bukit Mertajam itu sudah menjadikan hentian bas berkenaan sebagai rumahnya.

Malah kotaklah yang menjadi tilamnya saban malam bagi menghilangkan penat lelah seharian.

Adik beri tekanan

Ahmed berkata, dia tidak mahu wajahnya dirakamkan kerana bimbang dikenali sanak saudara sehingga menjadi bahan ejekan.

“Saya tidak mahu lagi duduk di rumah emak sejak 30 tahun dahulu, selepas tidak berkahwin, adik-adik memberikan tekanan sehingga saya tak mahu duduk di rumah yang saya warisi sendiri.

“Saya bekerja dengan mengutip barangan terpakai, mana ada duit hendak sewa dan beli rumah yang harganya begitu mahal.

“Jadi, kawasan jalanan jadi rumah saya, biarlah orang kata saya gila, saya lebih merdeka hidup begini, tiada kongkongan,” katanya.

Terbaring sakit

Dia antara gelandangan yang ditemui Sinar Harian ketika Program Sihat Merdeka Bersama Gelandangan Siri 1 2014.

Program yang disertai 50 orang belia prihatin itu terdiri daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Komuniti Negeri Pulau Pinang (PKSNPP), Pertubuhan Belia Harapan Negara, dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Pulau.

Menariknya, program berkenaan mendapat kerjasama PBSM bagi memberi pemeriksaan kesihatan percuma kepada gelandangan yang ditemui sekitar Georgetown.

Menyedihkan apabila salah seorang gelandangan ditemui terbaring dalam keadaan sakit akibat kemalangan pada waktu pagi.

Namun lelaki tua yang hanya dikenali sebagai Ah Seng itu hanya terbaring kaku sambil menahan sakit dengan luka-luka kecil di sekitar bahagian mukanya.

Ubat mudah hilang

Pengerusi PKSNPP, Zainal Hassan berkata, program tersebut berbeza berikutan gelandangan berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Kebanyakan gelandangan ini bukan tidak tahu cara mendapatkan rawatan percuma di hospital, cuma kadangkala ada penyakit yang mereka biarkan sahaja melarat.

“Disebabkan hidup tiada rumah, ada antara ubat yang dibekalkan juga mudah hilang kerana ditinggalkan merata-rata,” katanya.

Zainal yang juga anggota PBSM berkata, beliau tidak mahu golongan tersebut menjadi punca kepada penyakit berjangkit.

Tarik golongan muda

Sementara itu, bagi Pengerusi GPMS Barat Daya, Mohd Faiz Mohd Rafeek berkata, projek turun padang bersama gelandangan tersebut juga sebahagian daripada program menyambut kemerdekaan.

Tegasnya, beliau mahu golongan belia melihat masalah gelandangan sebagai salah satu isu yang perlu diselesaikan.

“Buat masa ini memang tiada gelandangan kalangan belia lagi, tetapi jika ia tidak ditangani dengan serius, berkemungkinan belia pula akan menjadi gelandangan di negara ini.

“Kami mengajak peserta yang terdiri daripada golongan muda kerana mahu mereka lebih aktif dengan kerja amal,” katanya.

Hadir sama Pengerusi GPMS negeri, Muszaidi Ali dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, A Rahman Musbah.

Sinar Harian 16 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment