September 21, 2014

Ajal balik kempen

KEADAAN kereta dipandu Safrizal (gambar kecil) menyebabkan Allahyarham dan ibunya (gambar kecil) terbunuh.

Kuala Krai: “Allahyarham sempat bersama jentera dalam beberapa ceramah malam semalam (kelmarin) namun takdirnya terbabit kemalangan ini,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli selepas Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Sembilan Safrizal Tarmizan meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 4.30 pagi itu, Safrizal, 31, dan ibunya, Asmita Lukman, 56, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit manakala isteri, Nurul Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, dan anak mereka, Omar Al-Fateh, 3, parah dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Turut cedera ialah anak saudaranya, Amirah Syahirah Zailani, 6.

Kejadian berlaku ketika Safrizal yang memandu Toyota Wish dipercayai gagal mengawal kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah bas ekspres dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Difahamkan, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan, selepas menghabiskan masa di rumah keluarga di Pantai Cahaya Bulan dekat Kota Bharu.

Allahyarham yang juga seorang guru sekolah agama di Seremban sempat singgah di Pengkalan Kubor menyertai kempen bagi pilihan raya kecil (PRK) di situ, Khamis ini.

myMetro 21 Sep 2014


Dua maut MPV bertembung bas

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa daripada sebuah kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kuala Krai, Kelantan semalam.

KUALA KRAI - Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah kenderaan di Kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mereka yang maut ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya, Asmita Lukman, 56, yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish.

Tiga yang cedera ialah isteri Safrizal, Nurul Izatil Aqmar Mat Lazim, 28; anak, Mohd. Uma Al Fateh, 3, dan anak saudara, Amirah Syahirah Zailani, 6, yang turut berada dalam kenderaan terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan selepas mengambil isterinya di kampung di Pantai Cahaya Bulan di sini.

Kosmo 21 Sep 2014


Ucapan terakhir menyentuh hati

SEREMBAN - Beliau tidak pernah mengucapkan apa-apa setiap kali menyambut hari jadi, namun Ahad minggu lalu ternyata berbeza.

Itulah petanda ditunjukkan Allahyarham Safrizal Tarmizan ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-31 lalu, apabila secara kebetulan, buat pertama kali menulis sesuatu dalam akaun Facebook miliknya berkaitan dengan hidupnya.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Sembilan itu memuat naik status berbunyi 'Umurku semakin bertambah, sisa-sisa hidupku akan dihabiskan dengan beramal' pada hari lahirnya itu.

Bapa Allahyarham, Tarmizan Taslim, 57, berkata, status anak sulung daripada empat beradik itu rupanya memberi petanda bahawa dia  akan pergi buat selama-lamanya.

"Pada hari jadinya Ahad lalu, dia memberikan kata-kata ucapan. Saya membaca sendiri ucapan ditulisnya di laman Facebook yang benar-benar menyentuh hati saya,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham diibaratkan sebagai seorang ketua keluarga dalam kalangan ahli keluarga.

"Dia mempunyai budi pekerti yang baik, selain mudah bergaul dengan semua orang. Itu yang akan saya rindukan mengenai dirinya selepas ini,” katanya sebak.

Katanya, sebelum Allahyarham dan isterinya bertolak ke Kelantan, anaknya itu ada mengajaknya sama.

“Saya menolak kerana ada urusan. Cuma isteri saya mengikutnya,"  katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Sheikh Haji Mohd Said, di sini semalam.

Jenazah Allahyarham Safrizal selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira 8 pagi dalam satu liang lahad dengan jenazah ibunya, Asmita Lukman, 56, yang turut maut dalam kemalangan kira-kira 4.30 pagi kelmarin.

Dalam kemalangan itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu - Gua Musang.

Isteri mangsa, Nurul Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, kini dirawat di Hospital Kuala Krai, sementara anak tunggal mereka, Uma Al-Fateh Safrizal, 3, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.

Bagaimanapun, anak saudara perempuan mangsa berusia sekitar enam tahun hanya cedera ringan.

Sinar Harian 22 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment