August 19, 2014

Cucu terselamat, nenek rentung

SANDAKAN: Bunyi bising ayam yang mengejutkannya dari tidur menjadi ‘penyelamat’ kepada seorang lelaki berusia 25 tahun daripada rentung dalam kebakaran rumah papan dua tingkat di Jalan Lintas-Cecily, di sini pagi kelmarin.

Bagaimanapun, disebabkan bunyi bising ayam itu, mangsa yang dikenali sebagai Clark Jason Chia tidak sempat menyelamatkan neneknya yang rentung dalam kejadian terbabit.

Menurut mangsa, ketika kejadian hanya dia dan neneknya Voon Ho Hee, 71, berada di rumah manakala ibunya keluar bekerja dan tiga lagi adik perempuannya pergi ke sekolah.

Mangsa memberitahu ketika itu dia sedang tidur dan terkejut dengan bunyi bising ayam, manakala neneknya berada di ruang tamu dan mempunyai masalah berjalan.

“Api bermula dari bawah. Bunyi ayam bising…saya tidak sempat selamatkan nenek. Saya menyelamatkan diri dari pintu belakang kerana pintu hadapan musnah,” katanya.

Dia hanya sempat menyelamatkan surat lahir manakala kad pengenalan yang diletak di tempat sembahyang hangus terbakar dalam kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba Sandakan Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.43 pagi dan sampai di lokasi kejadian pada jam 7.02 pagi.

Tiga jentera bomba yang melibatkan 16 anggota berjaya mengawal api pada jam 7.28 pagi. Api berjaya dipadamkan pada jam 8.16 pagi, dengan turut dibantu lima anggota JPAM.

Utusan Borneo 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment