August 18, 2014

Warga emas maut, isteri parah

Anggota polis mengawal lalu lintas di lokasi kejadian.

ROMPIN – Seorang warga emas maut manakala isterinya parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh dipercayai di bahagian belakang dan sisi kanan oleh sebuah kereta Proton Satria Neo yang dinaiki tiga lelaki di Kilometer 146 Jalan Kuantan–Johor Bahru yang berlaku sekitar jam 11 pagi tadi.

Mangsa, peneroka Felda Selendang 1, Jafri Dermawi, 67, maut di tempat kejadian makanala isterinya, Kalsom Yusoff, 51, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, Mohd Suhaimi Che Abdullah, 39, motosikal dan kereta berkenaan datang arah yang sama iaitu dari arah Endau menuju ke Kuala Rompin.

“Saya berhenti untuk membeli jagung di gerai berhampiran dengan lokasi kemalangan dan ketika itu saya dapat lihat dengan jelas kereta tersebut merempuh motosikal berkenaan yang saya pasti ia turut dilihat oleh beberapa individu lain yang merupakan pemotong rumput yang sedang bekerja.

“Saya lihat kedua mangsa melambung bersama dengan motosikal yang mereka naiki itu selepas dirempuh dan kemudian jatuh terhempas di atas jalan manakala motosikal itu melambung sekali lagi lalu jatuh di bahu jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas kedua mangsa jatuh di tengah jalan, dia melihat salah seorang mangsa mengesot ke bahagian tepi jalan.

Sinar Harian 17 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment