August 30, 2014

Tiga termasuk warga Poland maut nahas


Keadaan kenderaan mangsa remuk dalam nahas berkenaan. 

TAIPING – Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam nahas di Kilometer 221 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki bersama seorang wanita terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh seorang warga Poland.

Menurutnya, warga Poland terbabit kebetulan berada di lokasi kejadian kerana menunggu kenderaan lain untuk ditumpang.

"Ketika kejadian, warga Poland berkenaan dipercayai cuba menahan kenderaan untuk ditumpang, namun kereta dipandu lelaki terbabit  yang lalu di lokasi kejadian tiba-tiba terbabas dan turut merempuh mangsa di bahu jalan.

"Perlanggaran itu menyebabkan pemandu kereta dan lelaki warga Poland berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang wanita yang parah di beberapa bahagian badan meninggal di Hospital Taiping," katanya.

Sinar Harian 30 Ogos 2014


Identiti mangsa nahas sudah dikenal pasti

TAIPING - Seorang lelaki, Daniel Tomasz Jezierski, 20-an dipercayai warga Poland dikenal pasti antara tiga individu yang maut dalam kemalangan di Kilometer 220 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, di sini kelmarin.

Dua lagi mangsa yang terbabit dalam nahas pada kira-kira jam 4.30 petang itu ialah Muhammad Nazrimuddin Othman, 29, dan ibunya, Embun Mohamed, 57, iaitu pemandu dan penumpang Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, Daniel Tomasz yang merupakan pelajar University Brunel London dipercayai berada di tempat kejadian untuk menahan kenderaan Myvi berkenaan kerana ingin menumpang.

“Bagaimanapun, pemandu kereta yang tiba-tiba panik merempuh mangsa sehingga mengakibatkan kenderaannya terbabas ke bahu kiri jalan.

“Dua mangsa maut di tempat kejadian manakala Muhammad Nazrimuddin disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, tangan dan muka,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, tiga termasuk seorang wanita maut apabila sebuah kereta hilang kawalan sebelum merempuh seorang lelaki yang berada di kiri laluan.

Ketika kejadian, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa.

Sinar Harian 31 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment