August 29, 2014

Tiga sahabat 'pergi' serentak


KEADAAN kereta Proton Perdana yang bertembung dengan Honda CRV di Kilometer 18 Jalan Paka-Al Muktaffi Billah Shah. Gambar kecil, tiga sahabat yang maut. FOTO Rosli Ilham


Foto NST

Dungun: Tiga sahabat baik maut terdiri dua lelaki dan seorang wanita selepas Proton Perdana dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti serbaguna (SUV) di Kilometer 18, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Mangsa Zuhairi Mahmood, 32, dari Felda Kerteh 6, Noor Aida Osman, 29, dan Mohd Haiqal Sani, 22, kedua-duanya dari Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Zuhairi yang sedang dalam perjalanan dari AMBS menghala Paka, terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung SUV dari arah bertentangan.

Zuhairi menemui ajal akibat parah di kepala dan seluruh bahagian badan, Noor Aida putus tangan kiri dan kaki kanan serta tersepit di tempat duduk depan manakala Mohd Haiqal parah di kepala dan badan selain tercampak kira-kira 15 meter dari kenderaan.

Pemandu CRV Rokhaimie Mohammed Isiban, 47, dan anaknya Muhammad Faisal Rusydan Rokhaimi, 14, serta adiknya Abdul Hakam Mohamed Isiban, 37, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Kemalangan itu menyebabkab kedua-dua arah jalan ditutup kepada lalu lintas kira-kira empat jam.

myMetro 29 Ogos 2014


3 maut, 2 kenderaan bertembung

DUNGUN 29 Ogos - Tiga sahabat termasuk seorang wanita maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan ngeri melibatkan dua kenderaan di Kilometer 18, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) petang ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu ialah Zuhairi Mahmood, 32, dari Felda Kerteh 6 yang juga pemandu kereta Proton Perdana dan dua penumpangnya, Noor Aida Osman, 29, serta Mohamad Haiqal Sani, 22, dari Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

Seorang lagi rakan mereka, Wan Farid Wan Ramli, 27, dari Jerangau dekat sini cedera parah.

Nahas berlaku apabila kereta yang dinaiki empat mangsa itu bertembung dengan sebuah kenderaan SUV yang dinaiki oleh Rohaimi Mohamad, 47, (pemandu) bersama adiknya, Abdul Hakam Mohamad Esivan, 37, dan anaknya Mohd. Faizal Rusydan Mohamad, 14. yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Abang.

Keadaan Abdul Hakam dan Mohd. Faizal dilaporkan kritikal manakala Rohaimi hanya cedera ringan.

Rohaimi merupakan pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan dari Kementerian Dalam Negeri dalam perjalanan ke Pusat Latihan Polis (Pulapol), Rantau Abang untuk merasmikan penutupan tamat kursus pengawal keselamatan esok.

Kereta yang dipandu Zuhairi pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Paka menghala ke AMBS dipercayai terbabas ke kanan jalan ketika melalui satu selekoh lalu bertembung dengan kenderaan SUV itu.

Rempuhan itu menyebabkan kereta Proton Perdana terputus dua. Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Paka mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat Zuhairi yang cedera parah di kepala dan seluruh badan serta Noor Aida yang putus tangan kiri dan kaki kanannya.

Mayat Mohamad Haiqal yang parah di kepala dan badannya pula tercampak kira-kira 10 meter akibat perlanggaran itu.

Kemalangan menyebabkan kesesakan dan jalan terpaksa ditutup kepada lalu lintas selama sejam yang memaksa orang ramai menggunakan laluan alternatif untuk menuju ke Paka dan AMBS.

Utusan 30 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment