August 1, 2014

Temui tergantung di kipas angin

KULIM - Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di kipas siling biliknya kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, ketika kejadian nenek dan adik mangsa berada di rumah mereka di Taman Kota Kenari.

Menurutnya laporan yang dibuat bapa mangsa, mangsa tidak berhadapan dengan sebarang masalah dengan keluarga.

"Ketika kejadian, bapa mangsa dalam perjalanan balik ke rumah. Sampai di rumah, waris mangsa memaklumkan kepadanya (bapa mangsa) bahawa mangsa berkurung dalam bilik. Bapa mangsa kemudiannya memanggil mangsa berulang kali bagaimanapun tidak berjawab.

"Curiga dengan keadaan itu, bapa mangsa kemudiannya telah memecahkan pintu bilik mangsa dan menemui mangsa tergantung di siling kipas angin dengan menggunakan kain. Bapa mangsa kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan bagaimanapun dimaklumkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya dari pemeriksaan dijalankan terhadap mayat mangsa, polis mendapati  tidak terdapat sebarang perlakuan jenayah sehingga mengakibatkan kematian mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Abdullah menasihatkan supaya ibu bapa memantau perubahan anak mereka dan cuba menyelesaikan masalah dihadapi mereka dengan cara paling diplomasi.

Ini adalah kerana kebanyakan remaja hari ini mengalami pelbagai permasalahan peribadi dan ini boleh mengakibatkan mereka tertekan.

Sinar Harian 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment