August 18, 2014

Tak sempat kumpul barang kitar semula

Siew Ling termenung melihat mayat Ah Sun yang ditutup dengan kain terbaring di atas jalan raya selepas dilanggar sebuah motosikal di Lebuh AMJ Cheng, awal pagi semalam. Gambar kecil: Ah Sun 

CHENG (KUALA PILAH) - Seorang pembantu restoran warga emas tidak sempat mengumpul bahan kitar semula selepas dia maut dilanggar sebuah motosikal di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ), awal pagi semalam.

Mangsa, Je Ah Sun, 57, maut ketika sedang melintas jalan di tempat kejadian berhampiran sebuah pusat beli belah, dalam kejadian kira-kira 2 pagi.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran berkata, mangsa melintas jalan dari sebuah restoran makanan segera ke arah Taman Cheng Perdana.

“Pada masa sama, penunggang motosikal berusia 19 tahun yang datang dari arah Lebuh Sungai Udang - Paya Rumput - Ayer Keroh (SPA) melanggar mangsa di lorong kanan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal jenis Yamah 125Z patah paha kanan,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Siew Ling, 45, berkata, abangnya yang lebih dikenali sebagai 'Kartun' masih bujang tinggal bersama di Taman Cheng Pedana.

Menurutnya, biasanya abangnya itu akan keluar jam 12.30 tengah malam untuk mengutip barangan kitar semula untuk dijual.

“Dia bekerja di restoran berhampiran rumah dari jam 7 pagi hingga 3 petang dan akan pulang pada jam 5 atau 6 petang untuk makan dan tidur.

"Dia akan bangun dan keluar selepas tengah malam ke kawasan berhampiran untuk mengumpul tin, kotak dan barang kitar semula lain dan terus pergi kerja jam 7 pagi,” katanya.

Sinar Harian 18 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment