August 22, 2014

Tak mampu beli ‘kaki’

GARY mahu kembali aktif bersukan.

Kuala Lumpur: “Macam mana nak main bola kalau kaki tak ada?” itu keluhan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedaya, Sibu, Sarawak, Gary Anak Laurence, 17, kepada bapanya Laurence Anak Jampong.

Laurence yang berusia 43 tahun berkata, pertanyaan itu sering diajukan anak sulungnya itu kepadanya selepas kaki kiri remaja itu terpaksa dipotong akibat terbabit dalam kemalangan pada Oktober tahun lalu.

Menurut Laurence, dalam kejadian itu, Gary menunggang motosikal dalam perjalanan bersama rakannya untuk bermain sepak takraw.

“Saya difahamkan, Gary cuba mengelak ke kanan apabila seorang rakannya itu terbabit dalam kemalangan selepas melanggar anjing yang melintas.

“Nasib tidak menyebelahi Gary pada hari itu kerana ketika mengelak ke kanan dia bertembung pula dengan lori dari arah bertentangan hingga mengakibatkan kaki kirinya hancur,” katanya.

Menurut bapa kepada lima anak itu, Gary tidak dapat menerima kenyataan dan trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya sedangkan sebelum ini dia antara pelajar yang aktif dalam sukan sepak takraw dan bola sepak di sekolahnya.

“Dia sangat sedih kerana kakinya sudah tiada.

Emosinya juga sering terganggu dan saya selalu menjadi tempat dia melepaskan kemarahannya.

“Sebagai bapa, saya memang amat memahami apa yang dirasai anak saya itu, namun sudah takdir dia begini, jadi apa lagi kami boleh buat,” katanya.

Katanya, dia yang bekerja sebagai petani dengan pendapatan RM700 tidak mampu untuk memenuhi permintaan anak sulungnya membeli kaki palsu.

“Sungguhpun begitu saya bersyukur, ramai orang tidak meminggirkannya apabila setiap hari saya menghantar dia ke sekolah seawal jam 6.30 pagi ada rakannya menanti di depan pagar sekolah bersama kerusi roda mahupun tongkat daripada pemberian bantuan kerajaan.

“Bagaimanapun, bagi seorang pelajar aktif bersukan sepertinya sudah tentu dia tidak betah mengharapkan pertolongan setiap masa, kerana itu dia memerlukan kaki palsu untuk memudahkan pergerakan di sekolah.

“Justeru, saya merayu orang ramai dapat meringankan beban kami untuk melihat Gary kembali ceria seperti sebelum ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh mengirimkan cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dengan meletakkan nama pesakit di belakang cek serta dihantar ke alamat The Cashier, Finance Department/Charity Unit NSTP, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

myMetro 22 Ogos 2014


0 comments:

Post a Comment