August 29, 2014

Suami isteri maut rempuh treler rosak


KEADAAN kenderaan mangsa.

Miri: Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Wira dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah treler rosak yang diparkir di tepi jalan dalam kejadian di Sungai Nibong, Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu, di sini, pada jam 5.30 pagi ini.

Mangsa Elexander Ngerantar, 37, dan Winnie Mangku, 35, dari Taman Jelita, di sini, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, Elexander yang memandu kereta itu dipercayai tidak menyedari ada treler rosak yang sarat dengan muatan dan berhenti di tepi jalan ketika kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Miri dari Bintulu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Janathon Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan termasuk mendapatkan keterangan seorang lelaki yang didakwa pemandu treler berkenaan.

myMetro 29 Ogos 2014


Rodok treler

MALANG TIDAK BERBAU: Kelihatan anggota bomba mengangkat keluar mayat Winnie yang tersepit di tempat duduk penumpang bahagian depan dalam kemalangan di Jalan Persisir Pantai Bintulu-Miri berhampiran Suai, Niah awal pagi semalam.





MIRI: Dua maut selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki oleh mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Persisir Pantai Bintulu-Miri berhampiran Sungai Telong, Suai di sini awal pagi semalam.

Kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Elexander Ngerantar, 37, dan Winnie Mangku, 35, dari Taman Jelita Off Taman Tunku di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesah kejadian itu.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Sebelum kejadian sekitar jam 5.45 pagi itu, pasangan terbabit sedang dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri.

“Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu Elexander telah merempuh bahagian belakang sebuah lori treler yang diletakkan di tepi jalan berkenaan,” katanya.

Akibat rempuhan itu, katanya, bahagian hadapan kereta mangsa terperosok di bawah lori, sekali gus menyebabkan kedua-duanya tersepit di tempat duduk masing-masing.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Similajau yang bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan tentang kejadian tersebut mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa.

Difahamkan, lori treler tersebut diletakkan di tepi jalan berkenaan kerana mengalami kerosakan, namun tidak meletakkan tanda kecemasan sebagai amaran kepada pengguna jalan raya lain.

Semasa kejadian, pemandu lori berusia 44 tahun bersama dua kelindannya sedang tidur di dalam kenderaan tersebut dan hanya menyedari kemalangan itu setelah terdengar bunyi kuat dan berasa sesuatu melanggar kenderaan mereka dari arah belakang.

Serentak itu, mereka keluar untuk melihat apa yang berlaku dan amat terkejut apabila mendapati kereta mangsa telah terperosok di bawah kenderaan mereka.

Berikutan itu, mereka menghubungi Klinik Kesihatan Batu Niah untuk meminta bantuan.

Dalam pada itu, menurut Stanley, polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut.

Utusan Borneo 30 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment