August 1, 2014

Setiap hari ibarat bulan puasa

Aripin dan isterinya menceritakan masalah yang dihadapi mereka kepada Ali Mazat (tiga, kiri) yang berkunjung ke rumah mereka.

KULAIJAYA – Sejak sekian lamanya tiada istilah sambutan Aidilfitri buat keluarga Aripin Ahmat,  50 yang hidup serba kekurangan di sebuah pondok yang dibina dari barang-barang terpakai di atas rizab sungai di Kampung Tan Yoke Fong, di sini.

Aripin bersama isteri, Fatimah Ibrahim, 48 dan empat anak mereka berusia 17 hingga sembilan tahun sudah lebih 15 tahun tinggal di kawasan berkenaan dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan air dan hanya bergantung kepada alat penjana untuk mendapat bekalan elektrik.

Malah atas sebab kedaifan dan kekurangan yang dihadapi, kesemua anaknya tidak dapat bersekolah kerana mempunyai masalah surat beranak dan kad pengenalan.

“Bagi kami setiap hari ibarat bulan Ramadan kerana kami hanya makan apa yang ada sahaja, kadang-kadang makan hasil dari sayur yang ditanam di belakang rumah.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori tetapi selepas mengalami kemalangan hingga terpaksa berjalan menggunakan tongkat, saya hanya buat kerja-kerja ringan di kampung.

“Di sinipun tidak banyak pekerjaan yang  boleh dilakukan apatah lagi dalam keadaan sebegini," katanya.

Aripin yang berasal dari Felda Sungai Sayong berkata, anak sulung dan keduanya yang tidak bersekolah banyak membantunya menampung keperluan keluarga namun pendapatan mereka juga ibarat kasi pagi makan pagi.

“Sebelum ini isteri diserang strok dan terlantar di rumah, kami bergantung kepada wang yang ada untuk ke hospital dan merawatnya.

“Mujurlah isteri sudah beransur sihat dan boleh bergerak seperti biasa. Kehidupan kami bergantung kepada pendapatan tidak seberapa anak yang bekerja berhampiran kawasan ini,” katanya.

Katanya, penderitaannya sekeluarga mula berkurangan selepas wakil rakyat setempat membantu memasukkan bekalan air ke rumah sejak awal tahun lalu bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan  menggunakan air bersih.

Aripin berkata, dia berharap anaknya yang berusia sembilan dan 13 tahun dapat meneruskan sesi persekolahan agar dapat menjadi insan berguna untuk mengubah nasib keluarga mereka.

“Siapa yang tidak sedih melihat orang lain gembira bersama keluarga menyambut Aidilfitri, saya harap nasib kami sekeluarga tidak berterusan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Bukit Permai, Ali Mazat Salleh berkata, pihaknya akan membantu mendapatkan penempatan baru untuk keluarga Aripin agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna.

“Saya akan pastikan mereka pindah dari kawasan ini dan tinggal di tempat yang lebih selesa. Saya juga akan rujuk kes mereka kepada agensi yang berkenaan bagi memastikan  masalah dokumen pengenalan diri mereka dapat diselesaikan,” katanya.

Sinar Harian 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment