August 30, 2014

Seorang Inspektor maut akibat kemalangan di Gerik

IPOH - Seorang inspektor polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 33.7 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli tengah hari semalam.

Md Sairie Mat Daud, 32, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR 1000 dipercayai dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharom berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dipercayai berkonvoi bersama enam motosikal lain sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikalnya ketika menuruni bukit berhampiran selekoh sebelum terbabas ke laluan kiri dan melanggar tembok simen pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah terjatuh dari motosikalnya dan  tercampak ke tengah jalan,” katanya.

Mangsa yang bertugas di cawangan risikan jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan disahkan meninggal dunia di Hospital Gerik jam 2.25 petang.

Abdul Manab berkata, buat masa ini, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 31 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment