August 1, 2014

Rodok adik bawa makanan ke bilik sembahyang

Kajang: Tindakan membawa makanan ke dalam bilik sembahyang menyebabkan seorang lelaki dirodok dengan pisau hingga mati oleh abang kandungnya.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, mangsa yang berusia 26 tahun diserang abangnya berusia 34 tahun di kediaman mereka di pangsapuri Sungai Jelok di sini.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa membawa pinggan makanan ke dalam bilik sembahyang hingga menimbulkan rasa marah abang sulungnya itu.

Menurutnya, suspek kemudian bertengkar dengan adik bongsunya itu sebelum mencapai pisau dan menikam bahagian kanan perut adiknya itu.

“Susulan itu ibu mangsa membawa mangsa mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Kajang. Mangsa bagaimanapun dilaporkan mati pada jam 10.30 malam kelmarin.

“Berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori pernah mendapatkan rawatan psikiatrik di Hospital Kajang sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, anggota polis forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian berjaya menemui pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa.

myMetro 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment