August 1, 2014

Remaja maut nahas

Goh Kok Di 

IPOH - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran lampu isyarat Bukit Kledang awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi semalam, mangsa Goh Kok Di, 17, beralamat di Bandar Baru Menglembu penunggang motosikal Honda EX5 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.

Manakala, pemandu MPV Toyota Wish yang juga seorang peniaga dipercayai dari Kedah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Gajah.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kemalangan itu berlaku apabila penunggang motosikal muncul secara tiba-tiba di tengah simpang jalan sewaktu lampu isyarat hijau di arah bertentangan.

Menurutnya, pemandu MPV memandu seperti biasa memandangkan lampu isyarat berwarna hijau namun dia gagal mengelak motosikal tersebut dan melanggarnya.

“Akibat tindakan mengejut penunggang motosikal terbabit, pemandu MPV terbabit gagal mengelak kenderaannya lalu melanggar motosikal tersebut.

“Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal maut serta merta di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati, keadaan jalan rata dan kering serta keadaan trafik tidak sibuk. Malah, cuaca baik dan terdapat lampu di sepanjang jalan berkenaan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun.

Sinar Harian 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment