August 18, 2014

Peserta maraton warga Brunei meninggal dunia

Anggota polis membantu seorang peserta warga Brunei jatuh pengsan sebelum meninggal ketika menyertai Maraton Kuching 2014 di Jalan Muhibbah, Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 17 Ogos - Seorang warga Brunei meninggal dunia setelah jatuh pengsan di Jalan Muhibbah di sini ketika sedang menyertai Maraton Kuching 2014 hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Fauzilan Abdul Aziz, mangsa, Abdul Aziz Japar, 54, disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital kira-kira pukul 7 pagi.

"Mangsa yang tiba di sini pada Jumaat lalu telah mengambil bahagian bagi kategori lima kilometer bersama rakan-rakannya dalam program tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Program yang pertama kali diadakan itu merupakan anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama Persatuan Maraton Kuching (KMA) mendapat penyertaan 5,500 peserta dari 30 negara.

Sementara itu, seorang peserta yang enggan dikenali memberitahu, dia terkejut setelah melihat mangsa yang berlari di hadapannya tiba-tiba terjatuh.

Katanya, dia dan rakannya cuba membantu dan melihat lelaki itu telah tidak sedarkan diri.

"Kebetulan rakan saya yang merupakan pengamal perubatan terus memeriksa mangsa. Peserta lain pula memanggil petugas untuk mendapatkan ambulans membawa mangsa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut," katanya.

Utusan 18 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment