August 23, 2014

Penumpang maut van rempuh lori balak

Keadaan hadapan van yang merempuh sebuah lori balak

BINTULU: Seorang penumpang maut dan tiga lagi cedera parah apabila van yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori balak di KM74 Jalan Bintulu-Bakun pada Rabu malam.

Sebelum kejadian, van terbabit berada di belakang lori tersebut yang dalam perjalanan dari Bakun.

Dipercayai, pemandu van cuba memotong lori tersebut apabila dia melihat sebuah kereta datang dari laluan bertentangan lalu masuk semula ke laluannya namun ia melanggar salah satu balak yang dibawa lori tersebut.

Impak dari perlanggaran tersebut menyebabkan pemandu tersepit di dalam kenderaannya manakala salah seorang penumpang yang duduk di hadapan cedera parah dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Bintulu.

Pasukan penyelamat mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan pemandunya manakala tiga lagi penumpang berjaya dikeluarkan oleh orang ramai.

Ketua Balai Polis dan Penyelamat Bintulu, Dihata Gobel berkata kejadian berlaku sekitar pukul 7.50 malam dan penumpang yang terbunuh dikenali sebagai Muhamad Hafiz Abu, 30.

Tiga lagi yang cedera ialah pemandu van, Amir Ashraf Ishak, 26, penumpang Durendel Metea, 34, dan Uoon Phian Loi, 40.

Sumber The Borneo Post 22 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment